Home Luar Negara HUJAN, MUSIM SEJUK BURUKKAN LAGI NASIB PELARIAN GAZA

HUJAN, MUSIM SEJUK BURUKKAN LAGI NASIB PELARIAN GAZA

KHAN YOUNIS: Hujan lebat pada waktu malam menyebabkan khemah-khemah pelarian di selatan Gaza dinaiki air dalam masa singkat, merosakkan bekalan makanan dan membasahkan pakaian serta selimut.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, keadaan itu memburukkan lagi kehidupan ratusan ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat perang dan kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu selepas dua tahun pertempuran, krisis kemanusiaan di Gaza masih sangat serius. Kebanyakan pelarian kehilangan hampir segala-galanya.

Kebanyakan keluarga berhimpit di kem khemah yang dibina secara tergesa-gesa menggunakan kanvas atau plastik, dikelilingi lumpur dan air bertakung setiap kali hujan, dengan suhu malam di Gaza kebelakangan ini antara lapan hingga 12 darjah Celsius.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah atau rosak akibat perang.

Pengarah Rangkaian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Palestin di Gaza, Amjad Al-Shawa, berkata kira-kira 1.5 juta daripada 2.2 juta penduduk Gaza kehilangan rumah.

“Daripada lebih 300,000 khemah yang diminta bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan, kami hanya menerima 60,000,” kata Shawa kepada AFP, sambil merujuk kepada sekatan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, pula berkata cuaca buruk itu menambah penderitaan penduduk Gaza.

“Penduduk Gaza bertahan hidup dalam khemah sementara yang digenangi air serta di celah-celah runtuhan bangunan.

“Semua ini bukannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bekalan bantuan tidak dibenarkan masuk pada skala yang diperlukan,” tulisnya di platform X.

Bagaimanapun, agensi Kementerian Pertahanan Israel, COGAT memaklumkan hampir 310,000 khemah dan terpal sudah dibenarkan masuk ke Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Awal bulan ini, hujan lebat dan cuaca sejuk menyebabkan sekurang-kurangnya 18 kematian akibat runtuhan bangunan rosak atau kesejukan melampau.

Pada 18 Disember lalu, PBB melaporkan 17 bangunan runtuh dan 42,000 khemah serta tempat perlindungan sementara rosak sepenuhnya atau sebahagiannya akibat ribut. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here