Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menumpaskan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai bernilai RM2.88 juta selepas menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Pek, di sini, semalam.
Menurut kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, anggota PGA turut menahan dua lelaki yang menaiki kenderaan tersebut.
“Kenderaan itu dinaiki dua lelaki tempatan berumur 45 dan 53 tahun serta berada dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan menerusi Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sejumlah kotak berwarna coklat yang dibalut plastik lutsinar, dipercayai mengandungi 1.5 juta batang rokok putih tidak bercukai.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.88 juta, termasuk kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan berkenaan,”menurut kenyataan itu.
Kesemua barangan rampasan bersama suspek berumur 45 dan 53 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
IMedikel TV






