Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kenaikan sebanyak 75 peratus kos kerja tanah projek Terminal Stesen Bas Kota Bharu Sentral (KB Sentral) adalah bagi tujuan memperkukuhkan tanah agar stabil dan kukuh.
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kota Bharu, Syahiran Muhammad dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah meneliti pelbagai laporan media susulan pengesahan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Fadzli Hassan bahawa kos kerja tanah projek berkenaan meningkat daripada minimum RM8 juta kepada RM14 juta.
”KEADILAN Kota Bharu juga mempersoalkan keputusan menyerahkan projek KB Sentral tersebut kepada syarikat China Harbour Engineering Company (CHEC) Construction sebagai kontraktor utama, dan bukannya melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan pembinaan.
”Ketiadaan penetapan kuota pekerja aras sederhana tinggi dan tinggi dalam projek berkenaan menunjukkan peluang pekerjaan kepada anak Kelantan, khususnya tenaga mahir tempatan, tidak diberikan perhatian yang wajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syahiran berkata, ia turut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak memikirkan peluang pekerjaan buruh kelas tinggi dari anak Kelantan.
Beliau menyarankan agar kerajaan Kelantan merujuk kembali perjanjian berkaitan KB Sentral, dengan memasukkan anak syarikat kerajaan negeri, bukan sekadar rakan strategik atau “tumpang lesen”, sebaliknya mengusahakan agar ditetapkan kuota untuk buruh kelas sederhana tinggi dan kelas tinggi, sebagai langkah membuka peluang pekerjaan kepada anak Kelantan yang berkemahiran tinggi.
”Semoga cadangan ini memberi manfaat kepada kepada anak Kelantan yang mempunyai kemahiran aras tinggi, dapat berkhidmat di negeri Kelantan yang kita cintai ini,” katanya.
IMedikel TV






