Home Sukan PERANCANGAN RAPI JADI KUNCI KEJAYAAN THE CATS – AIDIL SHARIN

PERANCANGAN RAPI JADI KUNCI KEJAYAAN THE CATS – AIDIL SHARIN

KUCHING: Kemenangan bergaya 4-0 Kuching City FC ke atas Melaka FC bukan sekadar hasil ketajaman di hadapan gol, sebaliknya lahir daripada perancangan taktikal yang dirangka dan dilaksanakan dengan cemerlang oleh para pemain.

Memetik laporan Harian Metro, ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, memuji komitmen anak buahnya yang berjaya menterjemahkan pelan permainan seperti dirancang, terutama dalam mengekang momentum Melaka FC yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan pada perlawanan sebelumnya.

“Saya fikir kami merancang dengan baik dan pemain melaksanakan perancangan itu dengan sangat baik. Kami tahu Melaka datang dengan momentum positif selepas menang ke atas Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Aidil Sharin, tekanan tinggi yang dikenakan dalam 15 minit awal permainan menjadi faktor utama kejayaan Kuching City membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh.

Bagaimanapun, beliau mengakui intensiti pasukan sedikit menurun pada penghujung babak pertama, sekali gus memberi ruang kepada Melaka FC melancarkan beberapa serangan berbahaya.

“Dalam 20 minit terakhir separuh masa pertama, permainan kami sedikit perlahan dan Melaka mula menyerang dengan baik sehingga memberi sedikit masalah kepada kami,” katanya.

Namun, kebangkitan semula sebelum rehat separuh masa yang menyaksikan gol kedua Kuching City disifatkan sebagai detik penting perlawanan.

“Gol kedua sebelum masuk ke bilik persalinan sangat penting. Mendahului 2-0 memberi kelebihan besar kepada kami,” ujar Aidil Sharin.

Beliau turut mendedahkan peringatan berulang kali diberikan ketika rehat separuh masa agar pemain tidak menurunkan intensiti permainan. Hasilnya, dua lagi gol berjaya dihasilkan pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan bergaya.

“Kami tekankan supaya tidak memperlahankan tempo dan pemain mempamerkan aksi bola sepak yang sangat baik. Dua gol lagi pada separuh masa kedua adalah keputusan yang sangat positif,” katanya.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin menegaskan kejayaan itu mencerminkan identiti bola sepak yang ingin diterapkan di Kuching City, namun konsistensi perlu terus dipertingkatkan.

“Kami mahu bermain bola sepak kami sendiri, dengan gaya kami. Ia ditunjukkan malam ini, tetapi kami perlu lebih konsisten. Bukan hanya bermain baik menentang pasukan tertentu sahaja,” katanya.

Beliau mengakui kesilapan adalah perkara biasa dalam bola sepak, namun paling penting pemain berani mencuba, bekerja keras dan menghiburkan penyokong.

“Kesilapan itu normal, yang penting pemain cuba melakukan yang terbaik. Ini bola sepak yang kami mahukan dan apa yang ditunjukkan malam ini adalah konsistensi,” katanya.-HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here