LONDON: Manchester City akan kehilangan khidmat pemain sayap Belgium, Jeremy Doku sehingga tahun baharu kerana kecederaan, kata pengurus Pep Guardiola.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Doku mengalami masalah pada kaki minggu lalu dan terlepas aksi kemenangan 3-0 City ke atas Crystal Palace.
Menjelang perlawanan suku akhir Piala Liga menentang Brentford awal pagi esok, Guardiola memaklumkan pemain itu tidak akan kembali beraksi dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
Ketika ditanya mengenai tempoh kepulangannya, Guardiola berkata: “Jeremy akan berehat dua atau tiga minggu. Mungkin tahun baharu ketika bertemu Sunderland.”
Ketiadaan Doku menjadi tamparan besar buat Guardiola di tengah-tengah musim paling konsisten City sejak pemain itu menyertai kelab dari Rennes pada 2023.
Pemain berusia 23 tahun itu sudah menjaringkan tiga gol dan mencipta lima bantuan jaringan, dengan aksi lincahnya di bahagian sayap membantu penyerang City, Erling Haaland menikmati satu lagi musim produktif.
Selain terlepas perlawanan menentang Brentford di Stadium Etihad, Doku turut tidak dapat diturunkan dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham pada 20 Disember dan Nottingham Forest pada 27 Disember.
Aksi menentang Sunderland di Stadium of Light pada 1 Januari menjadi tarikh paling awal untuk Doku kembali beraksi.
Pemain sayap Brazil, Savinho, dijangka diberi peluang mengisi kekosongan Doku selepas kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kebelakangan ini.
Dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Palace dan memenangi sepakan penalti, namun Guardiola lebih tertarik dengan kadar sumbangannya.
“Dia kehilangan satu atau dua bola dan dalam dua saat dia sudah bertindak seperti pertahanan,” kata Guardiola.
“Saya amat gembira. Dua situasi dia kehilangan bola, dia seperti mesin. Dia tidak suka mendengar, tetapi saya perlu memberitahunya.
“Apabila anda masuk sebagai pemain gantian, anda perlu berlari dua kali ganda kerana pemain lain sudah letih. Savinho akan bermain banyak minit”. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






