Home Luar Negara TANGAN DAN KAKI ‘MENARI’ SENDIRI AKIBAT DIABETES

TANGAN DAN KAKI ‘MENARI’ SENDIRI AKIBAT DIABETES

SHENZHEN: Wanita berusia 20 tahun di sini, mengalami pergerakan ‘tarian’ yang pelik dan tidak terkawal pada tangan serta kakinya yang berpunca daripada kerosakan otak jarang berlaku akibat diabetes.

Memetik MS News, wanita dikenali sebagai Liu itu turut mengalami penurunan berat badan mendadak yang pada awalnya disangkanya sebagai tanda diet berkesan.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, walaupun tidak mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes, Liu mula mengalami pergerakan anggota badan secara tidak terkawal yang menjadi semakin teruk pada waktu malam.

Difahamkan, dalam tempoh sama, dia kehilangan hampir satu kilogram (kg) berat badan setiap dua hari.

Bimbang dengan keadaannya, Liu kemudian mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

Ujian mendapati paras gula dalam darahnya berada pada tahap berbahaya dengan bacaan ‘Hemoglobin A1c’ (HbA1c) mencecah 17.7 peratus berbanding paras normal 5.7 peratus.

Dalam pada itu, doktor kemudian mengesahkannya menghidap ‘non-ketotic hyperglycaemic hemichorea’, iaitu gangguan neurologi jarang akibat diabetes tidak terkawal.

Keadaan itu menjejaskan bahagian otak yang mengawal pergerakan, sekali gus mencetuskan pergerakan tersentak dan seakan-akan menari pada anggota badan.

Paras glukosa darah ketika berpuasa wanita itu juga didapati jauh melebihi paras normal.

Pemeriksaan lanjut mendapati Liu sering makan hanya sekali sehari, tidak mengamalkan diet seimbang dan minum teh susu kira-kira tiga kali seminggu.

Menurut doktor, kandungan gula tinggi dalam minuman itu serta jarak masa panjang antara waktu makan menyebabkan paras gula dalam darahnya kerap naik dan turun secara mendadak.

Susulan itu, Liu kini menerima rawatan di hospital dengan doktor memberi amaran pengambilan gula berlebihan dan tabiat makan tidak teratur boleh mencetuskan penyakit serius walaupun dalam kalangan golongan muda. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here