Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Seramai 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan kerana dipercayai berselindung di sebalik Pas yang sudah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan terbuka di sekitar Jalan Klang Lama, di sini, pada Isnin.
Serbuan itu dilakukan pada jam 9.40 malam hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua mereka memiliki pas yang sudah tamat tempoh dan menggunakan modus operandi dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan parkir dan kedai makan bagi tujuan hiburan hingga lewat malam.
”Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
”Dalam operasi itu, anggota imigresen memeriksa seramai 131 individu membabitkan 82 lelaki dan 34 wanita warganegara asing serta 15 warganegara tempatan, namun hanya 90 individu yang ditahan.
”Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Nigeria, Yemen, Syria, Somalia Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India berumur antara 21 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi sama, beliau berkata JIM turut mengeluarkan saman kepada saksi iaitu pemilik restoran di lokasi itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
”Mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Jelasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
IMedikel TV






