Home Buletin Semasa MARA SASAR 30 USAHAWAN MIKRO KELANTAN DINAIK TARAF KEPADA USAHAWAN KECIL TAHUN...

MARA SASAR 30 USAHAWAN MIKRO KELANTAN DINAIK TARAF KEPADA USAHAWAN KECIL TAHUN DEPAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan seramai 30 usahawan mikro di Kelantan untuk dinaik taraf kepada usahawan kecil pada tahun hadapan.

Pengarah MARA Negeri, Zahrail Affenday Mohamed berkata, proses penskalaan akan dilaksanakan bagi membantu usahawan terpilih mengembangkan perniagaan yang lebih stabil dan berdaya saing.

Menurutnya, kebanyakan usahawan mikro yang dikenal pasti sudah memiliki jenama sendiri, namun memerlukan sokongan dari segi peningkatan jualan dan kapasiti operasi.

“Sekiranya sebelum ini jualan mereka berada pada skala rendah, MARA akan membantu meningkatkan hasil jualan sehingga mencecah tahap usahawan kecil, contohnya kalau sebelum ini jualannya di bawah RM30,000 setahun, kita akan naiktaraf kepada usahawan kecil dan mereka akan mendapat hasil jualan RM300,000 setahun.

“Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan berasaskan produk kesihatan, kosmetik dan ’lifestyle’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemerkasaan OEM 2025, di sini, pada Isnin.

Zahrail berkata, sepanjang tahun ini MARA Kelantan merekodkan seramai 50 usahawan baharu, namun hanya 30 daripadanya dikenal pasti berpotensi untuk dinaik taraf sebagai usahawan kecil.

”Bagi usahawan mikro, sekiranya mereka menginginkan bantuan pinjaman pembiayaan, mereka perlu memohon dengan pihak MARA, kebiasaanya untuk kali pertama, mereka memerlukan pembiayaan sebanyak RM5,000 sahaja, selepas itu, untuk membesarkan perniagaan itu, dia perlu selesaikan pinjaman itu dan boleh memohon untuk pinjaman yang lebih tinggi.

”Selain itu, kita juga menyediakan geran peralatan bagi membantu usahawan mikro meningkatkan kapasiti pengeluaran termasuk penggunaan teknologi yang lebih moden,” katanya.

Selain itu, MARA juga akan terus memperkasakan kilang OEM sebagai sokongan kepada pembangunan industri tempatan yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau turut menasihatkan golongan muda dan bakal usahawan supaya mempunyai minat yang tinggi, berani mengambil risiko serta bijak mengenal pasti keperluan pasaran dalam bidang keusahawanan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here