Home Buletin Semasa JKNK SEDIA HADAPI GELOMBANG KEDUA BANJIR

JKNK SEDIA HADAPI GELOMBANG KEDUA BANJIR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di negeri ini dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang sama seperti gelombang pertama.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Azman Yacob, pihaknya sudah membuat persediaan rapi khususnya dari aspek penyediaan perkhidmatan kesihatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa banjir sentiasa terpelihara.

“Sekiranya PPS dibuka dan jumlah penghuni melebihi 1,000 orang, kita akan menyediakan klinik statik di pusat tersebut

“Klinik ini akan dikendalikan oleh pasukan perubatan yang diketuai pegawai perubatan, dibantu paramedik dan jururawat yang bertugas secara statik selama 24 jam,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, bagi PPS yang menempatkan kurang daripada 1,000 mangsa, perkhidmatan kesihatan akan disediakan melalui klinik bergerak yang beroperasi pada waktu pejabat, iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Manakala bagi PPS yang lebih kecil, kita akan melaksanakan lawatan perubatan di mana doktor akan datang membuat pemeriksaan kesihatan ke atas penghuni PPS sebelum bergerak ke PPS lain,” katanya.

Dr Azman menegaskan, langkah itu adalah prosedur dalaman JKNK yang sudah dilaksanakan sebelum ini dan terbukti berkesan sepanjang pengurusan gelombang pertama banjir.

Katanya selain rawatan kesihatan, aspek persekitaran di PPS turut diberi penekanan bagi mencegah penularan penyakit bawaan air yang boleh dicegah.

“Kita juga memberi keutamaan kepada pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti pesakit dialisis. Pengesanan awal akan dibuat dan sekiranya mereka berada di PPS, kita akan membantu menggerakkan mereka ke pusat dialisis bagi mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Dari segi penugasan kakitangan, beliau berkata klinik statik akan disokong sekurang-kurangnya empat hingga lima petugas perubatan yang bertugas secara syif

“Bagi perkhidmatan bergerak, seorang pegawai perubatan sudah mencukupi, dibantu paramedik, jururawat, pembantu perubatan serta pegawai farmasi atau penolong pegawai farmasi untuk penyediaan ubat-ubatan.

“Rawatan akan diberikan kepada semua pesakit tanpa mengira peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau dewasa,” katanya.

Mengulas pengalaman gelombang pertama, Dr Azman memaklumkan tiada sebarang laporan berkaitan renjatan elektrik, keracunan makanan atau penyakit bawaan air diterima.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengharungi gelombang pertama dengan baik dan kita berharap gelombang seterusnya juga dapat ditangani dengan lancar.

“Semua agensi akan bergerak serentak bagi memastikan perkhidmatan yang diperlukan dapat disampaikan kepada rakyat yang terkesan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here