Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan berlaku kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian termasuk ikan sehingga 30 peratus pada musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, namun pihaknya memberi jaminan peningkatan itu dalam keadaan terkawal selain bersifat setempat dan tidak melebihi 30 peratus.

“Kenaikan harga barangan itu berlaku susulan permintaan yang semakin tinggi pada musim ini, tetapi ia tidak berlaku secara meluas dan masih dalam keadaan terkawal.
“Sekiranya mana-mana pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mempunyai maklumat tentang berlakunya manipulasi harga melebihi 30 peratus atau pakatan kartel, saya sarankan supaya segera membuat laporan kepada KPDN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun, di sini, hari ini.
Tambah beliau, bagi mengelakkan pencatutan harga barang, seramai 890 pegawai pemantau harga digerakkan di seluruh negara untuk memantau barangan keperluan harian termasuk di pasar awam, pasar tani, mini market dan pasar raya.

“Setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang laporan rasmi, sebaliknya hanya maklumat daripada laporan media yang menyatakan berlakunya kenaikan harga,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kenaikan harga ikan di negara ini berpunca daripada manipulasi harga oleh pemborong selain kekurangan hasil laut akibat musim tengkujuh.
IMedikel TV






