KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan badan induk itu masih memerlukan khidmat pengarah kejurulatihan beregu Rexy Mainaky walaupun jurulatih berpengalaman itu menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan susulan kegagalan skuad negara mencapai sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Thailand.
Memetik laporan Berita Harian, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan pada temasya dwitahunan itu tidak boleh diletakkan di bahu seorang individu sebaliknya perlu dipikul secara bersama oleh pemain, jurulatih, pengurusan dan kepimpinan.
“Khidmat Rexy masih diperlukan. Pengalaman serta falsafah pembangunan yang dibawanya tidak boleh diukur dengan hanya satu kejohanan,” katanya menerusi kenyataan di laman X beliau, hari ini.
Kem badminton negara menamatkan kempen Sukan SEA kali ini dengan satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa, jauh daripada sasaran empat emas yang ditetapkan BAM.
Emas tunggal negara disumbangkan oleh beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang menampilkan aksi cemerlang menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 pada perlawanan akhir.
Bagaimanapun beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 14-21, 17-21.
Harapan satu lagi emas menerusi beregu campuran yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tidak kesampaian apabila terkandas di separuh akhir dan membawa pulang gangsa, manakala acara berpasukan lelaki terlepas emas selepas tewas 0-3 kepada Indonesia di final.
Semalam, Rexy menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab penuh, termasuk meletakkan jawatan, susulan kegagalan skuad badminton negara khususnya dalam acara beregu di Sukan SEA Thailand.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan Sukan SEA 2025 bukan pentas mudah dan keputusan di gelanggang menuntut kejujuran serta keberanian untuk bertanggungjawab secara kolektif.
Beliau turut menekankan walaupun sasaran emas tidak dicapai, skuad negara mempamerkan kemajuan positif apabila meraih sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat.
“Lebih bermakna, kita meraih pingat perseorangan wanita, pencapaian pertama sejak enam tahun, yang membuktikan pembangunan bakat berada pada trajektori tepat,” katanya.
Beliau turut menegaskan kegagalan di Sukan SEA tidak menafikan kejayaan besar badminton negara tahun ini, termasuk gelaran juara dunia beregu campuran menerusi Tang Jie-Ee Wei serta pencapaian bersejarah Pearly-Thinaah mara ke final beregu wanita pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.
“Sukan SEA memberi pengajaran berharga. Kami akan belajar, memperbaiki kelemahan dan bangkit lebih matang.
“Ini bukan noktah, sebaliknya batu loncatan,” katanya sambil menegaskan komitmen BAM untuk terus membina badminton negara atas asas kukuh demi kejayaan dalam jangka masa panjang. – BH Online –
IMedikel TV






