Home Buletin Semasa PELAJAR UITM MACHANG MAUT DIREMPUH MOTOSIKAL DALAM KAMPUS

PELAJAR UITM MACHANG MAUT DIREMPUH MOTOSIKAL DALAM KAMPUS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MACHANG: Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Machang,19, maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di dalam kawasan kampus berkenaan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam kira-kira jam 6.40 petang mengenai kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 6.20 petang.

“Sebuah motosikal yang datang dari arah pintu utama UiTM Machang dalam perjalanan pulang ke asrama sedang mendaki bukit sebelum seorang pejalan kaki melintas jalan secara mengejut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, penunggang motosikal terbabit dipercayai cuba mengelak ke kiri, namun berlaku perlanggaran dengan pejalan kaki berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh ke atas pembahagi jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Mangsa yang juga pelajar UiTM Machang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairulanwar Adam di talian 011-1008 5165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-975 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here