Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan penjualan rokok seludup dan minuman keras menerusi Operasi Loging yang dijalankan dengan nilai rampasan berjumlah RM315,708.75.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi itu dijalankan antara 10 hingga 13 November lalu di 16 lokasi berasingan, sekali gus membawa penahanan seramai 10 orang yang disyaki (OYDS).
“Sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan menyimpan rokok seludup di belakang kaunter, di tempat penyimpanan tersembunyi dan juga di rumah terbiar sebelum barangan tersebut dijual dan diedarkan kepada pelanggan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam turut menegaskan bahawa aktiviti penyeludupan bukan sahaja menyebabkan negara mengalami kebocoran hasil, malah membawa ancaman lebih besar kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.
IMedikel TV






