Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
JELI: Seorang pelajar lelaki institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditahan bersama teman wanitanya selepas bergelut dengan polis, di sini, Isnin lalu dikatakan cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta yang dinaiki mereka.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata kejadian berlaku ketika anggota rondaan mendekati kereta mereka sebelum suspek berusia 20 tahun itu bertindak agresif dan cuba melarikan diri.
“Siasatan mendapati pada awalnya suspek mengambil teman wanitanya di hadapan sebuah sekolah di Jeli, tetapi berhenti di tepi jalan untuk melakukan hubungan seks di dalam kereta.
“Namun mereka terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang melakukan rondaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kamarulzaman berkata, sebelum ini, pelajar IPT itu ditahan reman empat hari mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan memandu secara berbahaya.
“Susulan laporan ini, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengelakkan sebarang perlakuan seksual di dalam kenderaan, sama ada di kawasan awam atau tempat sunyi, kerana boleh menimbulkan risiko jemayah dan implikasi undang-undang.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar lelaki IPT di Jeli ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan memandu kereta secara melulu ketika petugas Unit Kereta Peronda (MPV) mendekatinya untuk membuat pemeriksaan.
Setelah membuat pemeriksaan, anggota MPV mendapati terdapat seorang remaja perempuan yang masih bersekolah di dalam kereta berkenaan.
IMedikel TV






