Home Buletin Semasa KEGIATAN SELUDUP ROKOK, PETROL TUMPAS

KEGIATAN SELUDUP ROKOK, PETROL TUMPAS

200
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dan minyak petrol dalam dua operasi berasingan di sini, pada Selasa.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam operasi pertama di Kampung Padang Jelapang Lati, anggota menemukan 50,000 batang rokok disyaki tidak bercukai yang disimpan di dalam beberapa kotak.

“Kesemua rokok berada dalam sebuah kenderaan dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Anggota PGA menahan kereta itu kira-kira jam 12.30 pagi kerana mencurigakan, namun pemandunya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota dan meninggalkan kenderaan berkenaan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Nik Ros Azhan berkata nilai rampasan rokok tersebut dianggarkan RM140,000, manakala kenderaan terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di pangkalan haram Tangga Yana, anggota PGA turut menemukan beberapa tong berisi 100 liter petrol yang ditinggalkan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, operasi jam 2 petang itu dilaksanakan menerusi Op Taring Wawasan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tong berkenaan mengandungi 100 liter petrol bernilai RM263 dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Rampasan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here