Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Musim banjir yang menyebabkan banyak kawasan dinaiki air ternyata membuka ruang rezeki kepada penghantar makanan apabila permintaan terus meningkat meskipun hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Bagi penghantar makanan, Wan Haarith Wan Salahudin, 42, dia tetap keluar bekerja walaupun keadaan cuaca tidak menentu kerana motosikal yang digunakan mempunyai ekszos tinggi dan mampu meredah air di kawasan banjir.

“Ramai penghantar makanan tidak keluar ketika hujan lebat, tetapi pada masa sama pelanggan makin banyak buat pesanan, jadi ia memberi rezeki tambahan untuk saya,” katanya ketika ditemui sedang menghantar pesanan di sini, hari ini.
Wan Haarith berkata, pekerjaan sebagai penghantar makanan menjadi sumber pendapatan utama sejak lima tahun lalu, dan setiap hari dia keluar seawal jam 8 pagi hingga 11 malam untuk menghantar pesanan di sekitar Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Kok Lanas.
Katanya, biarpun berdepan cabaran laluan bertakung dan dinaiki air, dia tetap berusaha memastikan pesanan pelanggan sampai tepat pada waktu.
Sementara itu, Mohd Asyraf Mohamad, 26, yang bekerja sebagai penghantar makanan secara sambilan sejak dua tahun lalu berkata, tugas tersebut lebih mencabar ketika banjir kerana kebanyakan pelanggan yang membuat pesanan terkandas di rumah.

“Ada satu hari itu, saya sampai depan rumah pelanggan, tetapi air banjir paras lutut memang tak boleh masuk, jadi saya minta pelanggan itu keluar ambil sendiri makanan dan dia juga terpaksa meredah air.
“Pesanan memang laju masuk pada musim banjir, jadi siapa yang berani keluar memang dapat rezeki lebih, cuma cabaran pun besar,” katanya.
Menurutnya, dia sentiasa memakai baju hujan sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak daripada basah kuyup.
“Kadang-kadang enjin motosikal hampir rosak kerana meredah banjir, tapi masih boleh dibaiki,” katanya.
IMedikel TV






