Home Buletin Semasa JPJ KELANTAN PEROLEH LEBIH RM160,000 HASIL LELONGAN AWAM KENDERAAN, YAMAHA RXZ PALING...

JPJ KELANTAN PEROLEH LEBIH RM160,000 HASIL LELONGAN AWAM KENDERAAN, YAMAHA RXZ PALING MENJADI REBUTAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan memperoleh sebanyak RM167,560 hasil lelongan 113 unit kenderaan yang disita dan tidak dituntut oleh pemilik yang berdaftar.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, bidaan tertinggi yang diperoleh adalah RM15,500 melibatkan kenderaan Mini Coper manakala bidaan paling rendah adalah RM100 bagi motosikal.

“Sebanyak dua buah motosikal Yamaha RXZ paling menjadi rebutan iaitu dengan bidaan sebanyak RM12,100 dan RM7,000.

“Kenderaan yang disita ini bukan sewenang-wenangnya boleh dilelong untuk dijadikan hasil kerajaan, ia perlu menjalani prosedur yang tertentu setelah kenderaan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 2/2025 di JPJ Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, proses pelupusan kenderaan sita secara lelongan awam itu adalah sebahagian daripada proses pengurusan aset yang telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Perkhidmatan Awam Darat 2010.

Katanya, walaupun kenderaan itu tidak secantik kenderaan terpakai namun ia boleh dibaiki dan boleh dilesenkan selain harganya yang berpatutan.

“Lelongan awam ini juga melibatkan kenderaan yang tidak boleh dilesenkan dan ditawarkan dengan kaedah lelongan secara pukal atau kambo.

“Bagi kategori kenderaan ini, hanya syarikat yang mempunyai Sijil Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan sahaja yang layak untuk mengambil bahagian,” katanya.

Menurutnya, ia bukan sahaja untuk mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak dituntut di dalam depoh tahanan, tetapi sebagai langkah untuk menjana hasil kerajaan melalui proses atau garis panduan yang sah dan berintegriti.

Tambah beliau, proses lelongan awam itu melibatkan 114 pembida dari seluruh negara termasuk Perak dan Pahang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here