Home Sukan AIDIL BELUM TERFIKIR KEMBALI KE BAM

AIDIL BELUM TERFIKIR KEMBALI KE BAM

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro lebih setahun selepas memilih haluan sebagai pemain profesional bebas, Aidil Sholeh Ali Sadikin mengakui dia semakin selesa dengan status itu dan belum terfikir untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Aidil, 24, meninggalkan BAM pada Jun 2024 sebelum mengambil langkah berlatih di bawah bimbingan jurulatih Indonesia, Nova Armada.

Keputusan itu jelas membuka lembaran baharu dalam kariernya, terutama apabila prestasinya melonjak sepanjang musim 2025 dan berjaya berada di kedudukan ke-39 dunia, ranking tertinggi dalam kariernya.

“Untuk saya, saya tak fikir lagi nak masuk dalam (BAM) lah,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan kembali menyertai skuad negara susulan kekurangan pemain dalam kem perseorangan lelaki.

Mengulas sama ada dia kini lebih selesa sebagai pemain bebas, Aidil tidak menafikannya.

“Buat masa sekarang saya rasa selesa lagi kat luar,” katanya ringkas.

Ditanya jika peluang itu tetap datang suatu hari nanti, dia mengakui masih perlu menilai banyak perkara sebelum membuat keputusan.

Justeru buat masa ini, fokus Aidil hanya satu iaitu membuktikan peningkatan sejak beralih ke dunia profesional.

“Saya nak tunjukkan bila dalam gelanggang dan setiap perlawanan saya buat yang terbaik kerana saya nak menang lebih banyak lagi gelaran,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen, membuka pintu buat pemain profesional untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, dalam usaha mengembalikan taring bahagian perseorangan lelaki.

Jonassen turut mengakui pemain profesional seperti Aidil dan Jacky Kok mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang musim ini.

Tahun 2025 menjadi musim terbaik Aidil, apabila dia mempamerkan konsistensi tinggi dalam siri BWF. Aidil meraih gelaran terbesar kariernya di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025 pada Mac lalu, selain muncul naib juara Masters Al Ain 2025 (Super 100) pada Oktober.

Dua podium utama itu memberi bayangan jelas bahawa Aidil sedang berada pada fasa kematangan permainan dan buat masa ini, haluan profesional tampak menjadi pilihan yang paling serasi buat dirinya. – HMetro Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here