Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat jam 1.46 petang hari ini adalah 10,354 orang membabitkan 3,963 keluarga.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 63 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.
Selain Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, daerah Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang juga menjadi daerah terbaru yang turut dilanda banjir, hari ini.
Berdasarkan laporan, Tumpat kini merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 4,794 orang daripada 1,895 keluarga dan kini ditempatkan di 13 PPS.
Diikuti dengan Kota Bharu, 2,451 mangsa membabitkan 932 keluarga yang kini berada di 19 PPS.
Selain itu, di Bachok, laporan mendapati jumlah mangsa sekarang adalah 2,074 orang daripada 738 keluarga yang dipindahkan di lapan PPS serta Machang juga mencecah 380 mangsa daripada 182 keluarga di enam PPS.
Jumlah mangsa di Kuala Krai pula adalah 242 orang melibatkan 91 keluarga di enam PPS diikuti Tanah Merah, 237 orang daripada 75 keluarga dan kini ditempatkan di enam PPS.
Di Gua Musang, mangsa banjir sekarang ialah 25 orang daripada 13 keluarga di tiga PPS, serta Pasir Mas, 20 orang daripada lima keluarga yang berada di satu PPS.
Imedikel TV






