Home Buletin Semasa KAMPUNG PANTAI SENOK, WAKAF AIK DI BACHOK BERDEPAN RUNTUHAN TANAH AKIBAT HAKISAN

KAMPUNG PANTAI SENOK, WAKAF AIK DI BACHOK BERDEPAN RUNTUHAN TANAH AKIBAT HAKISAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Penduduk di Kampung Pantai Senok dan Wakaf Aik, di sini, kini berdepan situasi cemas apabila berlaku runtuhan tanah akibat hakisan susulan hujan lebat, baru-baru ini.

Tinjauan kru Medikel TV mendapati penduduk bimbang kerana kejadian sedemikian tidak pernah berlaku, walaupun kawasan itu sering dilanda banjir saban tahun.

Seorang penduduk, Siti Fatimah Ismail, 67, dari Kampung Wakaf Aik berkata dia terkejut apabila mendapati kawasan tanah di sekitar rumahnya runtuh pada pagi Sabtu.

“Saya terkejut sebaik bangun pada pagi itu apabila melihat tanah di tepi rumah runtuh akibat hakisan, air pula mengalir laju.

“Memang takut sebab pertama kali jadi macam ni dalam 40 tahun sejak tinggal di sini,” katanya ketika ditemui Kru IMedikel TV, di sini, semalam.

Dia berkata jika hakisan itu berulang dan banjir semakin buruk, dia dan anaknya Mohd Rosli Yusoff, 40, mungkin terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Zakiza Azhar Mat Yusoff, 26, berkata runtuhan tanah di laluan keluar rumahnya menyebabkan dia tidak berani menggunakan kenderaan.

“Laluan ini memang laluan kereta keluar masuk, tetapi selepas berlaku runtuhan, saya tidak berani hendak membawa keluar kereta sebab bimbang tanah runtuh lagi,” katanya.

Manakala bagi Masli Yaziz Mustapa, 42, hakisan yang berlaku berhampiran kedainya dipercayai berpunca daripada kalbok tersumbat.

“Kalbok tersumbat menyebabkan air melimpah ke kawasan ini dan menghakis tanah tepi kedai saya.

“Tahun ini paling teruk sebab tidak pernah jadi sebelum ini, kalau hujan lebat lagi, memang akan berlaku lagi,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here