Home Buletin Semasa PEKERJA SIBUK BERSIHKAN KEDAI TERJEJAS AKIBAT BANJIR DI TAMAN BENDAHARA

PEKERJA SIBUK BERSIHKAN KEDAI TERJEJAS AKIBAT BANJIR DI TAMAN BENDAHARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Ramai pekerja dilihat sedang melakukan kerja pembersihan kedai di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, di sini, selepas kedai mereka terjejas banjir baru-baru ini, namun terdapat juga kedai yang belum beroperasi.

Kru IMedikel TV sempat menemu bual pekerja untuk mendengar pengalaman mereka sepanjang proses pemulihan.

Seorang pekerja kedai aksesori telefon, Wan Nur Hafisya Wan Razali, 18, berkata banjir kali ini memusnahkan hampir 30 peratus barangan di dalam kedai itu.

“Pada hari pertama, air naik hingga paras lutut, manakala hari kedua pula hingga paras paha. Kami perlu mengalihkan semua barang penting untuk mengelak kerosakan lebih teruk,” katanya.

Menurutnya dia bersama empat lagi pekerja datang seawal 11.00 pagi untuk membersihkan kedai serta memunggah barang-barang yang rosak.

“Disebabkan air masih belum ada di kedai, kami memunggah air berdekatan menggunakan tong untuk mencuci dan mengemop lantai di dalam kedai,”katanya.

Bagi pekerja di sebuah kedai cermin mata, Amirul Solihin Rosmadi, 25, mereka memulakan kerja pembersihan sejak jam 10.00 pagi bersama lima pekerja lain.

“Kami sudah mengalih barang-barang penting sebelum ini termasuk almari dan juga peralatan mesin yang mahal di dalam kedai ke tempat lebih selamat.

“Pada hari pertama air paras lutut tetapi air naik sangat laju, hari kedua sudah mencapai paras pinggang di dalam kedai,”katanya.

Katanya anggaran kerugian sebanyak RM10,000 disebabkan banjir yang dianggap terburuk sejak kedai tersebut beroperasi hampir empat tahun.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here