Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hampir 1,000 peserta menyertai Program Fun Run For Humanity @ Kota Lama sempena Santunan Kasih Kota Lama yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, program tersebut bertujuan menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat melalui aktiviti larian bagi menyemai jiwa kemanusiaan ke arah keamanan dan kedamaian.

“Dengan kerjasama rakan strategik seperti IMedikel, kita dapat menguruskan penganjuran Fun Run dan Fun Walk For Humanity ini.
“Kita juga menjadi penghubung antara masyarakat dan agensi kerajaan melalui penganjuran jualan rahmah dan jualan agromadani serta beberapa agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Perniagaan Cina, di sini, hari ini.
Menurutnya, acara itu turut menyediakan kira-kira 70 hadiah cabutan bertuah kepada peserta yang mengambil bahagian.

Beliau berharap program tersebut dapat menjadi platform terbaik untuk menjadikan kawasan Kota Lama sebagai sebuah bandar yang bahagia, inklusif serta berdaya saing.
Sementara itu, salah seorang peserta, Nurul Aida Haron, 35, melahirkan rasa teruja kerana berpeluang berlari walaupun dalam keadaan cuaca hujan yang sedikit mencabar.
IMedikel TV






