Home Buletin Semasa OPERASI MENYELAMAT MANGSA BANJIR DI PPS BERJALAN LANCAR

OPERASI MENYELAMAT MANGSA BANJIR DI PPS BERJALAN LANCAR

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Operasi menyelamat mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan berjalan lancar berikutan tahap kesiapsiagaan yang baik.

Pengerusi Pengurusan Bencana Jajahan Bachok, Mohd Zaki Yusoff berkata, PPS SK Pauh Sembilan adalah pusat pertama dibuka di negeri ini dengan 12 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 43 mangsa, setakat ini.

“Kesemua mangsa setakat ini adalah daripada kawasan hotspot banjir seperti Taman Perumahan di Budi, Bachok.

”Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Bachok sentiasa memantau paras air.

“Pada jam 8 malam semalam, air mula meningkat, dan PPS dibuka pada jam 11 malam,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir di PPS SK Pauh Sembilan, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi jajahan Bachok, sebanyak 22 PPS disediakan untuk menempatkan mangsa banjir.

“Setiap mangsa juga disediakan makanan sebanyak tiga kali sehari oleh pengusaha kantin setempat.

“Buat masa ini, mangsa diminta bertenang, sekiranya mereka masih berada di PPS pada hari kedua, kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengadakan sesi kaunseling, khusus untuk kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Tambah beliau, antara agensi yang terlibat dalam operasi itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), JKM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, serta beberapa agensi lain.

Mohd Zaki berkata operasi menyelamat semalam menggunakan kenderaan 4×4 dan lori PDRM bagi memastikan semua mangsa dibawa ke PPS dengan selamat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here