Home Luar Negara 7 MAUT, 27 CEDERA DALAM LETUPAN DI BALAI POLIS DI KASHMIR

7 MAUT, 27 CEDERA DALAM LETUPAN DI BALAI POLIS DI KASHMIR

KASHMIR: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh manakala 27 lagi cedera apabila timbunan besar bahan letupan yang dirampas dan disimpan di sebuah balai polis di Kashmir, India, meletup lewat semalam.

Laporan media menyebut, kebanyakan yang terkorban adalah anggota polis dan pegawai forensik yang sedang memeriksa bahan letupan disimpan di balai polis itu.

Penyiar NDTV melaporkan, angka kematian dijangka meningkat, dengan lima daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, setakat ini, polis Jammu dan Kashmir tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Terdahulu, seorang pegawai polis tempatan memberitahu Reuters, satu letupan berlaku di Balai Polis Nowgam.

Pegawai itu berkata, api merebak kawasan balai dan pasukan bomba bergegas ke lokasi.

Letupan itu berlaku empat hari selepas satu letupan kereta mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di Delhi, yang disifatkan India sebagai kes keganasan.

Sementara itu, satu laporan menyebut bahan letupan itu dirampas daripada modul keganasan yang dikaitkan dengan letupan Red Fort.

Balai Polis Nowgam berada di pusat siasatan yang membongkar aktiviti keganasan Jaish-e-Mohammad minggu lalu.

Tiga doktor ditahan di Faridabad, Haryana dan di Saharanpur, Uttar Pradesh, manakala seorang lagi suspek dikenali sebagai Umar Nabi, berjaya melarikan diri.

Umar adalah individu yang bertanggungjawab terhadap letupan di Red Fort.

Balai polis berkenaan mula terbabit dalam siasatan itu pada Oktober lalu, dengan beberapa poster berkaitan Jaish-e-Mohammad muncul di kawasan terbabit.

Siasatan ke atas isu itu pada mulanya kelihatan hanya bersifat tempatan tetapi akhirnya membawa polis ratusan kilometer jauh dari Lembah Kashmir, sekali gus membongkar keseluruhan aktiviti berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada serbuan ke atas doktor-doktor yang dituduh itu, polis merampas lebih 350 kilogram (kg) ammonium nitrat.

Ia adalah sebahagian daripada kira-kira 2,900kg bahan yang disyaki bahan letupan, termasuk potash, fosforus, reagen, bahan mudah terbakar, litar elektronik, bateri, wayar, alat kawalan jauh, pemasa dan kepingan logam.

Polis tidak menyatakan berapa banyak daripada bahan-bahan itu sudah dipindahkan ke Nowgam. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here