Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
MACHANG: Dua daripada 13 individu yang ditahan selepas berhimpun di hadapan Istana Negeri Kubang Kerian, Kota Bharu, Selasa lalu dipercayai bekas pengikut Ayah Pin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan awal mendapati dua individu berkenaan termasuk lima yang didapati positif dadah, masing-masing berusia lingkungan 40-an.
“Kita tidak menolak kemungkinan kesemua mereka mempunyai penglibatan dengan ajaran sesat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Townhall Discussion Waspada Jenayah dan Jenayah Siber: Elak Jadi Mangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kumpulan itu dikatakan berhimpun bagi menyerahkan beberapa barangan lama termasuk pedang, parang dan tombak kepada ‘Sultan Muhammad Keenam’.
Jelas beliau, siasatan juga masih dijalankan berhubung peranan Orang Asli yang turut terbabit dalam perhimpunan berkenaan.
Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan tidak sah serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 susulan penemuan senjata tajam yang dibawa kumpulan itu.
Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan 13 individu termasuk wanita yang ditahan Selasa lalu, selepas berhimpun di hadapan Istana Negeri bertujuan menyerahkan barangan lama kepada pihak istana.
Semua suspek termasuk seorang wanita yang ditahan berumur antara 26 hingga 67 tahun.
IMedikel TV






