Home Buletin Semasa SINDIKET PENYELUDUPAN MIGRAN ‘PADE AJAK’ TUMPAS

SINDIKET PENYELUDUPAN MIGRAN ‘PADE AJAK’ TUMPAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai “Pade Ajak” menerusi siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Selangor pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi itu dijalankan berdasarkan hasil risikan dan maklumat awam oleh pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA serta Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dalam serbuan pertama, pasukan Imigresen menyerbu sebuah premis yang dijadikan lokasi transit migran sebelum diseludup keluar ke Indonesia secara haram. Premis tersebut beroperasi di sebalik sebuah kedai runcit dan kedai makan, lengkap dengan kemudahan tempat tinggal, bilik air dan dapur.

“Hasil serbuan membawa kepada tangkapan sembilan warga Indonesia termasuk tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun serta dua transporter lelaki masing-masing warga Nepal dan Indonesia. Sebuah Toyota Innova turut disita kerana digunakan untuk mengangkut migran ke lokasi seterusnya,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala menurut beliau serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama. Enam lagi migran warga Indonesia termasuk tiga lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 40 tahun ditahan bersama dua penjaga rumah, masing-masing seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Nepal.

“Siasatan awal mendapati semua migran itu ditempatkan sementara di kedua-dua premis sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di perairan Kuala Selangor. Kebanyakan mereka mengaku mendapatkan khidmat sindiket melalui akaun media sosial.

“Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun, disyaki dalang utama dan transporter sindiket berkenaan. Sebuah Perodua Alza serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil bayaran beberapa migran untuk tujuan penyeludupan keluar turut dirampas,”katanya.

JIM kini sedang mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan. Individu tersebut akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

Beliau berkata siasatan juga mendapati sindiket berkenaan aktif sejak awal 2023, dengan rangkaian operasi membabitkan ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia.

“Sindiket menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan, dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2, 100 bagi setiap individu.

“Keuntungan keseluruhan sindiket dianggarkan mencecah RM504,000 hasil kegiatan haram itu,”jelasnya.

Zakaria berkata operasi itu turut menggunakan pendekatan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan.

Beliau menegaskan, JIM komited membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

“Sebarang bentuk penglibatan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti sedemikian merupakan kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” tegasnya.

Masyarakat turut digesa agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, serta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan JIM. Jabatan kekal komited memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here