KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Dafi menasihati rakan-rakan artis agar lebih berhati-hati dalam mengulas isu bayaran di media sosial.
Meemtik laporan Berita Harian, Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, berkata biarpun isu bayaran rendah sering menjadi perbualan hangat, namun tidak semua perkara wajar dikongsi secara terbuka di laman sosial.
“Saya tak tujukan kepada mana-mana individu, tapi saya rasa bukan semua benda perlu dikongsi di media sosial.
“Kadang-kadang rezeki yang kita rasa sedikit, mungkin banyak bagi orang lain,” katanya pada sidang media drama terbaharu, BF Green Flag di Studio Village, Kampung Malaysia Tambahan, di sini, malam tadi.
Dafi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF5) berkata, setiap individu mempunyai pandangan tersendiri terhadap nilai bayaran, namun sebaiknya perbincangan berkenaan dibuat secara tertutup.
“Kalau rasa tak berbaloi, tak perlu ambil tawaran itu. Tak perlu dicanang atau diperlekehkan di media sosial. Mungkin bagi kita sedikit, tapi bagi orang lain jumlah itu cukup untuk menampung keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Dafi tidak menolak hak mana-mana artis untuk bersuara, sebaliknya menyifatkan setiap orang mempunyai alasan tersendiri apabila menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap bayaran diterima.
“Saya hormat siapa yang mahu bersuara, mungkin ada sebab mereka tersendiri.
“Tapi pada masa sama, bila bercakap tentang duit atau gaji, ia hal yang sangat sensitif, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.
Dafi berkata, dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, perlu ada kepekaan terhadap perasaan orang lain, khususnya mereka yang tidak berada dalam bidang hiburan.
“Apa yang kita ada, belum tentu orang lain ada. Bila kita bercakap soal bayaran secara terbuka, kita tak tahu apa perasaan orang lain yang mungkin sedang bergelut mencari rezeki,” katanya.
Tambahnya, perbezaan tahap populariti atau pengalaman juga tidak wajar dijadikan alasan untuk menilai kerja seseorang semata-mata berdasarkan nilai bayaran.
“Mungkin ada yang lebih popular, maka bayaran lebih tinggi. Tapi kalau rasa tak sesuai, tolak sahaja secara baik, bukan dengan menulis di media sosial,” katanya.
Bagi Dafi, selagi bayaran yang ditawarkan masih munasabah dan sesuai dengan kemampuan penganjur, dia tidak keberatan untuk menerima jemputan.
“Kalau bersesuaian dan saya lapang, saya akan ambil saja.
Saya percaya semua orang ada ketetapan sendiri terhadap nilai gaji atau bayaran yang mereka mahu,” katanya.
Dafi berkata, kecintaannya terhadap dunia nyanyian membuatkan dia tidak terlalu berkira soal jumlah bayaran, lebih-lebih lagi jika penganjur benar-benar menghargai kehadirannya.
“Kadang-kadang yang menjemput itu orang yang kita kenal atau penganjur kecil yang betul-betul nak kita, tapi kurang kemampuan.
“Kalau saya rasa seronok dan ikhlas, saya tetap buat. Rezeki itu luas. Mungkin sekarang dapat sedikit, tapi nanti akan diganti dengan lebih baik,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






