TURIN: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro Carlos Alcaraz bangkit cemerlang menewaskan Taylor Fritz pada aksi Kumpulan Jimmy Connors di ATP Final, awal pagi tadi sekali gus semakin hampir mengesahkan status selaku pemain nombor satu dunia hujung musim buat kali kedua.
Bintang Sepanyol berusia 22 tahun itu mencatat kemenangan dramatik 6-7 (2/7), 7-5, 6-3 ke atas finalis tahun lalu, menjadikannya dua kemenangan daripada dua perlawanan di Pala Alpitour, Turin.
Alcaraz sepatutnya sudah layak ke separuh akhir sekiranya Alex de Minaur berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Lorenzo Musetti, namun pemain Itali itu melakukan kejutan dengan kemenangan 7-5, 3-6, 7-5.
“Saya sangat gembira kerana dapat bangkit dan menemui semula rentak permainan sebenar. Saya hanya cuba manfaatkan peluang yang dia (Fritz) berikan, dan saya rasa kami beraksi dengan cukup baik,” kata Alcaraz.
Juara lima kali Grand Slam itu kini hanya perlu menewaskan Musetti pada aksi terakhir Khamis ini untuk menamatkan musim 2025 di ranking tertinggi dunia.
Saingannya, Jannik Sinner, perlu mempertahankan gelaran ATP Final tanpa kalah sekiranya mahu mengekalkan kedudukan nombor satu dunia buat tahun kedua berturut-turut.
“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya (ranking nombor satu). Sudah tentu ia akan jadi perlawanan besar,” ujar Alcaraz.
Kemenangan itu juga menyaksikan Alcaraz kini mendahului 5-1 dalam rekod pertemuan dengan Fritz, dengan satu-satunya kemenangan pemain Amerika Syarikat itu hadir ketika Piala Laver, September lalu.
Fritz bakal menentang De Minaur pada aksi terakhir kumpulan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






