KUALA LUMPUR: Ibu mentua Nubhan iaitu Zailah Zainudin melantik peguam bagi meneliti kenyataan dan hantaran yang didakwa berunsur fitnah hingga mencemar nama baiknya dan keluarga.
Memetik laporan Harian Metro, melalui hantaran dimuat naik di Facebook (FB), Zailah memberitahu dia melantik peguam daripada Tetuan Aizat Izuan Shakeel bagi mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang didakwa menyebar maklumat palsu.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Beberapa hari ini, saya dan keluarga melalui ujian yang amat berat apabila pelbagai cerita dan tuduhan disebarkan secara terbuka dalam media sosial.
“Sebagai ibu, saya amat sedih apabila nama saya dan keluarga dibawa ke tengah-tengah perhatian umum dengan pelbagai tafsiran yang tidak benar.
“Saya tidak pernah mencari perhatian, apatah lagi mahu bergaduh dengan sesiapa. Apa yang saya harapkan hanyalah ketenangan buat anak-anak dan cucu-cucu saya yang turut terkesan dengan apa yang berlaku.
“Saya melantik peguam daripada Tetuan Aizat Izuan Shakeel untuk meneliti setiap kenyataan dan hantaran yang berunsur fitnah. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan maklumat palsu serta mencemarkan nama baik saya dan keluarga,” katanya.
Zailah yang juga bekas pensyarah adalah ibu Dr Afiyah Hidayah Ahmad Tawfek iaitu isteri Nubhan.
Dalam hantaran itu, Zailah menuntut pihak yang menyebarkan fitnah agar berhenti membawa cerita yang tidak pasti kebenarannya kerana hanya akan menambah luka.
“Jangan tambah luka dengan andaian atau komen yang hanya berasaskan khabar angin. Cukuplah fitnah dan kata-kata yang menyakitkan.
“Saya yakin dan percaya insya-Allah kebenaran akhirnya akan diketahui juga. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan kata-kata semangat kepada saya serta keluarga. Sokongan semua amat kami hargai dan diucapkan terima kasih,” katanya.
Sebelum ini, Nubhan mengejutkan peminat apabila dilapor memfailkan permohonan pengesahan perceraian untuk dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap Dr Afifah di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Permohonan perceraian dibuat bagi mengesahkan lafaz cerai yang pernah berlaku pada 2017 dan pada 26 Ogos lalu, serta satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Pasangan Nubhan dan Dr Afifah bernikah pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia tiga hingga lapan tahun.-HMetro Online-
IMedikel TV






