Home Sukan GARUDA MUDA CIPTA SEJARAH DI QATAR

GARUDA MUDA CIPTA SEJARAH DI QATAR

DOHA: Skuad Bawah 17 Tahun Indonesia mencipta sejarah apabila meraih kemenangan pertama dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan H Piala Dunia B-17 2025 selepas menewaskan Honduras 2-1 di Doha, Qatar, awal pagi tadi.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, namun, keputusan itu hanya memberikan peluang yang sangat tipis buat Indonesia untuk mara ke pusingan 32 terbaik.

Ketika ini, Indonesia belum tersenarai dalam lapan pasukan tempat ketiga terbaik walaupun mengumpul tiga mata seperti beberapa pasukan lain berdasarkan perbezaan jaringan.

Sebelum ini, skuad Garuda Muda tewas 1-3 kepada Zambia dan 0-4 kepada Brazil.

Indonesia masih mempunyai peluang tipis untuk mara sekiranya Arab Saudi tewas 0-6 kepada Mali dalam perlawanan terakhir Kumpulan L atau jika Paraguay kalah besar kepada Ireland dalam Kumpulan J.

Kedua-dua perlawanan itu dijadualkan berlangsung malam ini manakala dalam Kumpulan H, dua pasukan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati, Brazil dan Zambia yang masing-masing mengumpul tujuh mata.

Seterusnya, Indonesia berada di tempat ketiga dan Honduras di tangga tercorot.

Jurulatihnya, Nova Arianto menyatakan rasa syukur atas kemenangan menentang Honduras itu yang juga kemenangan pertama Indonesia sepanjang sejarah penyertaan mereka dalam Piala Dunia B-17.

Dalam penampilan sulung mereka sebagai tuan rumah Piala Dunia B-17 2023, skuad Garuda Muda di bawah kendalian Bima Sakti mencatat dua keputusan seri dan satu kekalahan di peringkat kumpulan.-Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here