Home Buletin Semasa KPDN PERKASA PRODUK TEMPATAN MELALUI PLATFORM E-DAGANG

KPDN PERKASA PRODUK TEMPATAN MELALUI PLATFORM E-DAGANG

268
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil inisiatif memperkasakan produk tempatan dengan pendekatan menyeluruh bagi memastikan keberkesanan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan KBBM dapat merangsang ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian produk tempatan, sekali gus menjana pendapatan dan menyokong pertumbuhan perniagaan dalam negara.

“Pelaksanaan KBBM juga membantu kerajaan menonjolkan kualiti produk serta perkhidmatan buatan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa.

“Selain itu, ia turut memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pengguna serta menzahirkan rasa bangga terhadap produk keluaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Armizan berkata, kerajaan turut bekerjasama dengan pengendali platform e-dagang bagi memperluas promosi, pasaran serta menggalakkan pembelian produk tempatan secara dalam talian.

Menurutnya, dengan tema #JomBeliLokal, kempen jualan mega dalam talian menjadi antara usaha memperkukuh pelaksanaan KBBM.

“Sepanjang tahun 2024, pelaksanaan KBBM melalui kerjasama rakan strategik pengendali platform e-dagang telah menjana hasil jualan produk tempatan berjumlah RM1.99 bilion, melibatkan 1,640,679 stock keeping unit (SKU),” katanya.

Tambahnya, trend pembelian melalui platform e-dagang dijangka terus berkembang menerusi pelaksanaan KBBM secara dalam talian.

“Antara rakan strategik terlibat ialah TikTok Shop Malaysia yang telah mewujudkan halaman promosi khas (microsite) untuk pengiklanan dan promosi produk barangan Malaysia,” ujarnya.

Karnival jualan mega selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November itu menampilkan konsep shoppertainment dan diadakan buat julung kali secara fizikal, melibatkan reruai serta pameran usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pempengaruh tempatan.

Antara pengisian menarik sepanjang karnival ialah persembahan hiburan, sesi meet and greet bersama selebriti dan pempengaruh, selain siaran langsung (online live show) oleh peniaga TikTok Shop.

Sepanjang Jualan Mega 11.11 TikTok Shop, pengguna berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik termasuk penghantaran percuma tanpa had, baucar berganda sehingga 30 peratus, beli satu percuma satu, serta barangan keperluan pada harga mampu milik dari 1 hingga 11 November 2025.

Selain itu, KPDN melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut menjalinkan kerjasama dengan TikTok bagi memperkukuh kesedaran serta perlindungan harta intelek di Malaysia, khususnya dalam kalangan usahawan digital.

Melalui kerjasama itu, MyIPO dan TikTok akan memperluas usaha advokasi serta pendidikan berkaitan harta intelek, di samping memperkukuh aspek penguatkuasaan bagi melindungi hak harta intelek dalam persekitaran digital yang semakin berkembang pesat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here