Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Air soya yang pernah menjadi kegemaran ramai di hadapan Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan sejak lebih dua dekad lalu kini kembali dengan sentuhan generasi baharu apabila legasi itu diteruskan oleh anak kepada pengasas asalnya.
Mohd Shafikin Mohd Nor, 28, kini mengusahakan sepenuhnya perniagaan keluarga itu selepas bapanya berhijrah ke luar negara, namun mengekalkan resipi asli yang diwarisi sejak 25 tahun lalu.
“Saya masih guna resipi sama seperti ayah buat dulu daripada sukatan gula melaka, air gula, kacang soya hingga santan.
“Semua kekal, sebab itu pelanggan masih suka dengan rasanya,” katanya ketika ditemui IMedikel TV di lokasi jualannya, baru-baru ini.
Menurut Mohd Shafikin, dia mula belajar menghasilkan air soya selepas sering membantu bapanya berniaga walaupun pada awalnya kurang berminat.
“Dulu saya tidak minat berniaga namun dipaksa oleh ayah untuk menolongnya berniaga.
“Saya lebih minat kepada bidang permotoran tetapi ayah cakap berniaga dulu baru boleh main motor. Dari situ saya mula belajar dan akhirnya minat tu datang sendiri,”katanya.
Beroperasi menggunakan motosikal roda tiga di hadapan sekolah berkenaan, Mohd Shafikin kini menjadi tumpuan pelanggan lama yang masih mengingati keenakan ‘soya legend’ itu.

“Sekarang ini ada pelanggan datang tanya, ini soya legend yang dulu ke, maklumlah mereka lihat orang lain berniaga, tetapi saya rasa bangga bila orang masih ingat,” katanya.
Selain air soya, dia turut menjual pati soya, soya panas dan air cendol yang dihasilkan bersama ibunya setiap pagi.
Dia mula berniaga pada Sabtu hingga Khamis, bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang.
“Setiap hari seawal jam 7.30 pagi saya akan siapkan air soya dan pati soya, manakala ibu akan buat cendol,” katanya.
Menurutnya dia mampu menjual sehingga 650 gelas dan plastik air soya, pati soya dan cendol setiap hari.
“Kalau cuaca panas, memang tak menang tangan sebab pelanggan datang serentak. Alhamdulillah, ramai kata air soya saya lembut dan sedap mungkin sebab kami kekalkan cara asal ayah buat dulu,”katanya.
Minuman tersebut dijual pada harga berpatutan iaitu RM3 segelas besar, RM2 bagi pati soya kecil, dan RM4 bagi minuman berbungkus.
Kini, hasil jualan air soya itu bukan sahaja meneruskan legasi keluarga, malah menjadi sumber rezeki utama buat Shafikin bagi menyara ibu dan isterinya.
IMedikel TV






