Home Sukan SPURS ‘AJAR’ COPENHAGEN, VAN DE VEN UMPAMA JELMAAN MESSI

SPURS ‘AJAR’ COPENHAGEN, VAN DE VEN UMPAMA JELMAAN MESSI

256
0

LONDON: Micky van de Ven menghasilkan salah satu gol terbaik musim ini apabila berlari 95 meter sebelum menjaringkan gol sensasi untuk membantu Tottenham Hotspur menewaskan FC Copenhagen 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pemain pertahanan Belanda itu memulakan larian dari kawasan penaltinya sendiri pada minit ke-64, menembusi benteng longgar pasukan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Sebelum itu, Brennan Johnson membuka jaringan pada minit ke-19 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol pelawat, Dominik Kotarski, yang keluar terlalu awal dari kawasannya.

Wilson Odobert kemudian menambah gol kedua pada minit ke-51 selepas Randal Kolo Muani mencipta peluang hasil kesilapan sama oleh Kotarski.

Walaupun Johnson dilayangkan kad merah empat minit kemudian kerana terjahan lewat ke atas Marcos Lopez, Spurs tetap terus menguasai permainan.

Selepas jaringan solo menakjubkan Van de Ven, Joao Palhinha melengkapkan pesta gol apabila menyudahkan hantaran Cristian Romero untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Tottenham kini belum tewas dalam empat aksi Liga Juara-Juara, mengumpul lapan mata dan naik ke kelompok lapan teratas kumpulan, manakala Copenhagen terus tercorot dengan hanya satu mata.

Van de Ven yang kini muncul penjaring terbanyak kelab dengan enam gol dalam semua kejohanan berkata, dia tidak menyangka dapat mencipta detik istimewa itu.

“Saya nampak sedikit ruang di depan dan mula menggelecek. Ruang semakin terbuka, jadi saya teruskan dan mereka tak dapat kejar saya. Saya rasa luar biasa, terutama ketika memecut,” kata Van de Ven yang memecut hampir 95 meter untuk gol berkenaan.

Pengendali Spurs, Thomas Frank memuji prestasi pasukannya yang bangkit selepas dikritik hebat susulan kekalahan 0-1 kepada Chelsea hujung minggu lalu.

“Malam ini rasa seperti kita ada Lionel Messi dalam diri Micky van de Ven. Ini langkah besar ke depan dalam cara kami mahu bermain – bantuan gol daripada pemain ofensif, dan struktur pasukan juga mantap,” kata Frank. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here