LOS ANGELES: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai dibunuh dan disumbat ke dalam peti sejuk beku oleh ibu bapa serta neneknya, menurut pihak polis.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, butiran mengerikan muncul mengenai kematian Isaiah H muncul selepas mayatnya ditemui di sebuah pangsapuri di California pada Selasa lalu.
Memetik laporan The Daily Mail, penemuan itu dibuat selepas seorang penduduk di kompleks perumahan Lynwood menghubungi polis dan meminta mereka melakukan pemeriksaan kebajikan terhadap penghuni rumah itu.
Ibu bapa kepada Isaiah, Destiny Harrison dan Daniel Monzon masing-masing berusia 25 tahun bersama nenek sebelah bapa, Ana Carcamo Zarceno, 45, didakwa atas tuduhan membunuh, menyeksa dan mendera kanak-kanak hingga mengakibatkan kematian.
Selain itu, Zarceno dan Monzon turut berdepan pertuduhan bersubahat selepas kejadian.
Peguam Daerah Los Angeles County, Nathan J. Hochman berkata, penderaan kejam yang dialami Isaiah menjadi lebih menyedihkan apabila seperti yang didakwa ia dilakukan oleh tangan mereka yang sepatutnya menyayangi dan melindunginya.
Menurut polis, Isaiah dipercayai mengalami penderaan berterusan dalam tempoh yang lama dan dia meninggal dunia akibat kecederaannya pada 24 Oktober, beberapa hari sebelum mayatnya ditemui.
Tiga kanak-kanak lain berusia 16, 13 dan sembilan bulan turut ditemui di pangsapuri di Lynwood, tempat mayat Isaiah ditemui dan mereka kini ditempatkan di bawah jagaan perlindungan pihak berkuasa.
Penyelia Los Angeles County, Janice Hahn, menyifatkan kejadian itu sebagai “tragedi yang tidak dapat dibayangkan dan mengerikan” sambil menegaskan kebajikan kanak-kanak lain yang terselamat menjadi keutamaan.
Menurut jiran, tiada apa-apa yang luar biasa pada keluarga berkenaan malah si ibu sering tersenyum dan mengawasi anak-anaknya bermain di luar rumah.
Jaminan bagi ketiga-tiga suspek ditetapkan pada AS$2 juta (kira-kira RM9.56 juta) setiap seorang dan jika sabit kesalahan, mereka masing-masing berdepan hukuman penjara antara 32 tahun sehingga seumur hidup. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






