Home Hiburan BULI PERLU DIBANTERAS DARI RUMAH – NADIYA NISAA

BULI PERLU DIBANTERAS DARI RUMAH – NADIYA NISAA

277
0

KUALA LUMPUR: Tiada ibu sanggup melihat anaknya menjadi mangsa mahupun pelaku buli. Bagi pelakon berkaliber, Nadiya Nissa, isu itu bukan sekadar salah laku di sekolah, sebaliknya penyakit sosial yang perlu dibanteras bermula dari rumah.

Memetik laporan Berita Harian, Nadiya atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 40, menegaskan dia memandang serius perbuatan buli yang disifatkannya sebagai cerminan kecacatan nilai dalam masyarakat.

“Saya terus terang dengan anak. Saya menentang buli sepenuhnya.

Walau siapa pun kawan awak (anak), sekolah mana sekalipun, kalau terbabit dengan buli, sama ada membuli atau dibuli, saya akan ambil awak keluar dari sekolah,” katanya ditemui selepas sesi pratonton khas telefilem Bisikan Qarin di Studio Digital TV AlHijrah, di sini, baru-baru ini.

Nadiya berkata, dia mahu anaknya sedar setiap tindakan ada akibat, sekali gus menanam keberanian untuk tidak berdiam diri apabila melihat kejadian buli berlaku.

“Saya tak mahu anak saya jadi penonton kalau nampak kawan dibuli. Kena ada belas, kena berani bertindak,” jelasnya.

Pelakon filem Abah Saya, Uncle Mike itu mengakui, dia dan suami, Saiful Razman Mohd Kassim, menjadikan rutin berbincang mengenai anak sebagai amalan harian mereka.

“Setiap hari, saya dan suami akan bincang apa yang nak ditanya hari ini. Kami tanya jadual, aktiviti dan siapa kawan dia.

Kalau ada mesej daripada anak, saya akan kongsi dengan suami. Begitu juga sebaliknya. Kami tak mahu ada rahsia,” katanya.

Nadiya yang sudah 15 tahun mendirikan rumah tangga berkata, walaupun mengamalkan pendekatan terbuka dalam mendidik anak, dia tetap bertegas dalam hal berkaitan penggunaan media sosial.

Mengakui fasa mendidik anak remaja bukan mudah, Nadiya memaklumkan dia dan suami masih belajar mencari keseimbangan antara menjadi ibu bapa dan ‘kawan’ kepada anak-anak.

“Fasa nak jadi kawan kepada anak sangat mencabar. Kami kena cari cara untuk berbual supaya dia selesa bercerita.

Saya pun pernah pergi kursus keibubapaan dan penceramah kata usaha mendidik anak ini sebenarnya sepanjang hayat kita,” ujarnya.

Mengulas dakwaan peningkatan kes sosial berpunca daripada filem atau drama, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, tanggungjawab utama tetap terletak pada ibu bapa.

“Saya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak. Bagi saya, tanggungjawab itu bermula dari rumah.

Saya akan semak semula apa yang saya hidangkan kepada anak-anak sama ada buku, telefon, televisyen atau bahan bacaan. Itu yang saya utamakan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here