Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Lebih 200 peserta membanjiri Litar Jeram Mengaji bagi menyertai Motocross Track Day iaitu program yang menjadi tumpuan peminat sukan lasak di Kelantan.
Pegawai Pembangunan Rekreasi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Ainaa Diyyana Mokhtar berkata program tahunan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah siri pertama yang diadakan tahun ini dan berjaya melebihi sasaran awal sebanyak 100 penyertaan.

“Kita sasarkan 100 peserta sahaja, namun sehingga hari ini jumlah penyertaan sudah menghampiri 200 orang. Alhamdulillah, sambutan sangat baik bukan sahaja dari Kelantan, tetapi juga dari Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur.
“Pada awalnya program ini khusus kepada rakyat negeri ini sahaja namun memandangkan ada sambutan daripada peserta dari luar Kelantan yang turut meminati sukan motorcross ini, jadi kami terbuka menerima mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kru IMedikel TV selepas Program Motorcross Track Day Siri 1 Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025, di Litar Motorcross Jeram Mengaji, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria.
Beliau berkata tujuan program itu dilaksanakan adalah untuk mengenalpasti dan mencungkil bakat pelapis muda sebagai pelumba sukan motorcross di samping memeberi peluang dan ruang kepada penggerak sukan permotoran untuk berkongsi kepakaran dan ekspresi minat serta bakat mereka.
Katanya penganjuran program seumpama itu memberi peluang kepada belia untuk menyalurkan minat terhadap aktiviti bermotor di lokasi dan trek yang sah, serta mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Kita mahu anak muda tidak berlumba di tempat yang salah. Melalui program ini, peserta didedahkan kepada peraturan yang diguna pakai oleh Motorsport Association of Malaysia (MAM).
“Setiap pertandingan turut dimulakan dengan taklimat keselamatan bagi memastikan aktiviti berjalan lancar,” jelasnya.
Menurutnya lagi, siri kedua Motocross Track Day akan diadakan di Litar Motocross Teluk Kerengga, Pasir Mas pada 21 hingga 22 November ini.
Sementara itu, Presiden Kelab Sukan Bermotor Xplorasi, Mohd Haizul Omar berkata, program dua hari itu menampilkan 12 kategori perlumbaan antaranya kategori Motorcross untuk Motorcross Track Day (untuk pelumba muda membina asas kawalan motosikal dan Teknik asasa), Amatur/Beginner Class (sesuai untuk pelumba baru yang ingin belajar teknik asas motorcross), Open/Expert Class (untuk pelumba berpengalamandengan tek lebih teknikal dan mencabar), Veteran & Woman’s Class serta Pit Bike/Mini Motorcross (untuk pelumbayang menggunakanmotorsikal kecil dengan trek lebih pendek).

“Kalau kita lihat anggaran kehadiran pengunjung mencecah 800 hingga 1,000 setiap hari.
“Selain mencungkil bakat pelumba tempatan, penganjuran ini juga membantu menjana ekonomi penduduk setempat menerusi penyertaan peniaga tempatan,”katanya.
Mohd Haizul turut memuji pemilihan Litar Jeram Mengaji yang disifatkan antara litar tercantik di Kelantan, lengkap dengan kemudahan penginapan seperti chalet dan homestay, selain dikelilingi tarikan semula jadi seperti air terjun dan resort.
“Selain sukan, kita juga mahu mempromosikan Jeram Mengaji sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk pelawat luar,”katanya.
Beliau berharap agar program tersebut dapat mencungkil bakat baru anak muda sebagai pelumba khususnya dari negeri ini dan dapat diteruskan untuk masa akan datang.
Program Motocross Track Day itu adalah anjuran JBS Kelantan dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Ekplorasi (ELS).
IMedikel TV






