Home Buletin Semasa SG4 TEGAS REE HAK NEGERI, KERJASAMA DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN MESTI ADIL DAN...

SG4 TEGAS REE HAK NEGERI, KERJASAMA DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN MESTI ADIL DAN LESTARI

200
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai oleh negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan bahawa segala sumber mineral nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) yang terdapat dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan (9) Perlembagaan Persekutuan.

SG4 diwakili Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi SG4, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Gabungan empat negeri berkenaan yang mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara komited untuk memastikan hasil kekayaan bumi itu diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama, SG4 memaklumkan setiap negeri kini melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan bersama.

”Pelan itu merangkumi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.

”Polisi semasa juga menetapkan bahawa mineral kritikal tersebut kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industri selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,”menurut kenyataan itu.

SG4 turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi negara.

”Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi,”menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, SG4 menegaskan sebarang perancangan di peringkat nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.

“SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati. Namun, pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak boleh berulang dalam konteks industri REE,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pengurusan serta pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang.

SG4 juga berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara wajar dilaksanakan di negeri pemilik sumber bagi memastikan limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.

“Pendapatan negeri tidak boleh hanya terhad kepada royalti, tetapi mesti membabitkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, SG4 menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE di peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here