Home Hiburan SITI AMAL ZIKIR PELINDUNG ELAK PERKARA TAK BAIK

SITI AMAL ZIKIR PELINDUNG ELAK PERKARA TAK BAIK

345
0

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengamalkan zikir Bismillah 5 sebagai ikhtiar dan permohonan kepada Allah agar sentiasa melindungi diri serta keluarga daripada unsur tidak baik.

Memetik laporan Berita Harian, Siti berkata, zikir pelindung bagi umat Islam yang diajar ibunya, Siti Salmah Bachik itu sudah diamalkan sejak hamil anak pertama, Siti Aafiyah, kira-kira tujuh tahun lalu.

“Kita semua tahu zikir Bismillah 5 ini banyak manfaatnya. Saya belajar daripada emak sebab ketika itu, mengandung anak sulung. Lalu, saya teruskan hingga hari ini.

“Pada saya, ayat pelindung ini bukan sahaja untuk anak-anak kecil, tapi untuk kita. Malah, saya amalkan bacaan selawat dan doa pelindung seperti ‘tiga qul’ dan sebagainya.

“Bagaimanapun, apabila sudah memiliki cahaya mata, emak memang selalu berpesan untuk baca zikir tambahan seperti Bismillah 5 sebagai ikhtiar untuk mengelak daripada perkara tidak diingini,” katanya ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya, Gema Bumantara di TGV Pavilion Bukit Jalil di sini, hari semalam.

Awal bulan lalu, anak saudara Siti, Amad Dayyan diuji masalah kesihatan yang didakwa berkaitan gangguan mistik ketika membuat persembahan akhir pada sebuah program realiti.

Rentetan kejadian itu, Siti memuatnaik perkongsian mengenai zikir Bismillah 5 dalam hantaran Instagram Story (IGs), lantas menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya.

Siti berkongsi, ibunya sentiasa menasihati seluruh ahli keluarga yang terbabit secara langsung dalam industri seni supaya berhati-hati dan mengamalkan zikir pelindung.

“Saya dengan ahli keluarga memang ada kumpulan WhatsApp. Emak selalu pesan kepada anak-anak terutama kita dalam industri ini yang sentiasa terbuka dengan apa sahaja.

“Kadang-kadang kita tak tahu apa dibuat atau kita tersalah cakap. Jadi, emak selalu ingatkan, bukan mudah jadi anak seni,” katanya.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap kejadian menimpa Amad, Siti berkata, dia enggan memanjangkan perkara itu, selain menyifatkan apa yang berlaku sebagai asam garam anak seni.

“Kisah itu pun sudah berlalu, saya pun tak mahu panjangkan lagi. Ini pengalaman, setiap orang ada pengalaman dan ini yang Amad lalui. Jadi, perlu berwaspada, itu sahaja,” katannya.

Dalam perkembangan lain, Siti tampil dengan album baharu, Gema Bumantara, iaitu karya tradisional yang sarat makna mendalam, selain simbolik melambangkan suara warisan Melayu.

Album Gema Bumantara mengandungi 10 lagu baharu, hasil gabungan bakat hebat daripada komposer dan penulis lirik seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan dan Danish Norr.

Turut terbabit ialah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan termasuk Siti.

Lagu-lagu yang menghiasi album ini ialah Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here