Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menumpaskan cubaan menyeludup minyak petrol ke negara jiran dalam operasi khas Op Taring Wawasan yang dijalankan semalam.
Menurut kenyataan Briged Tenggara PGA, operasi tersebut dijalankan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini iaitu Kampung Simpangan, pengkalan haram Nasir dan pengkalan haram Pok Su Roni, antara jam 1.45 petang hingga 9.25 malam pada Isnin lalu.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa tong minyak mengandungi 325 liter petrol dengan nilai anggaran RM845, dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand,” menurut kenyataan itu.
Kesemua rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
IMedikel TV






