Home Sukan AFRO ALAMI KECEDERAAN ACL, BAKAL BEREHAT PANJANG

AFRO ALAMI KECEDERAAN ACL, BAKAL BEREHAT PANJANG

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dijangka berehat panjang selepas disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan meniskus.

Memetik laporan Berita Harian, pasukan bergelar Gergasi Merah dalam satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan kecederaan lutut kiri itu dialami Sharul Nazeem atau lebih dikenali sebagai Afro ketika aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.

“Hasil keputusan ujian MRI mengesahkan dia (Sharul Nazeem) mengalami kecederaan anterior cruciate ligament dan meniskus.

“Dia akan menjalani program prapemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan kesakitan, bengkak serta meningkatkan daya pergerakan kaki sebelum menjalani pembedahan yang dijangka membabitkan rekonstruksi ACL dan pembaikan meniskus.

“Seluruh warga kelab Gergasi Merah, rakan sepasukan, staf dan penyokong sentiasa berada di belakang Afro. Terus kuat dan positif sepanjang tempoh pemulihan ini. Kami yakin Afro akan kembali dengan lebih kuat!” menurut kenyataan itu.

Pada aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu, Sharul Nazeem dikeluarkan pada minit ke-38 dan digantikan oleh Harith Haiqal Adam Afkar.

Susulan kecederaan berkenaan, Selangor akan kehilangan khidmat pertahanan kental itu bermula dengan aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, malam esok. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here