KUALA LUMPUR: Barisan pemain Selangor FC perlu kekal berpijak di bumi nyata menjelang aksi kedua suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu ini, walaupun memiliki kelebihan besar empat gol.
Memetik laporan menerusi Harian Metro jurulatih sementara The Red Giants, Christophe Gamel menegaskan, walaupun mereka selesa dengan kemenangan 4-0 pada aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, namun masih terlalu awal untuk mendabik dada atau menganggap tiket ke separuh akhir sudah dalam genggaman.
Katanya, bola sepak penuh dengan kejutan dan segalanya boleh berubah dalam tempoh 90 minit, justeru fokus serta disiplin pasukan perlu dikekalkan sepanjang perlawanan.
“Kita tidak boleh terlalu yakin. Kita pernah lihat banyak kebangkitan besar berlaku di seluruh dunia.
“Jadi, kami akan turun dengan mentaliti sama seperti perlawanan pertama fokus, berdisiplin dan bekerja keras untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Tambah Gamel, jadual padat dengan lima perlawanan dalam tempoh singkat turut memaksa beliau mempertimbangkan aspek penggiliran pemain bagi mengekalkan kecergasan skuadnya.
“Saya perlu melakukan sedikit penggiliran dan setiap pemain yang diturunkan mesti bertanggungjawab mengekalkan momentum pasukan.
“Dalam pusingan pertama, kami berjaya melakukannya dengan baik, dan kini masa untuk memastikan kesinambungan prestasi itu,” katanya.
Gamel turut mengingatkan anak buahnya tidak leka dengan kelebihan selesa itu kerana aksi di MBPJ nanti dijangka lebih sengit apabila Negeri Sembilan tampil dengan semangat baharu untuk mencari kebangkitan.
“Kita kena bermain lebih baik daripada perlawanan pertama kerana mungkin kali ini mereka akan lebih agresif. Kita mungkin tidak dapat banyak peluang menjaringkan gol, jadi apa saja peluang yang ada mesti dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Pada masa sama, jurulatih dari Perancis itu turut mengakui perlawanan di MBPJ akan menjadi medan penting untuk menilai tahap konsistensi Selangor selepas melalui beberapa aksi liga yang mencabar sebelum ini.
“Kita tahu perjalanan ke separuh akhir tidak mudah. Negeri Sembilan pasti datang dengan misi membalas dendam, tapi kami sudah bersedia dengan semangat juang yang tinggi. Kami perlu tunjukkan sekali lagi kenapa kami layak mara lebih jauh,” katanya.
Menerusi kelebihan agregat 4-0, Selangor kini berada di ambang untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2022, namun Gamel enggan anak buahnya terbuai dengan kelebihan itu, sebaliknya mahu mereka menamatkan tugas dengan penuh profesionalisme di laman sendiri. – HMetro Online –
IMedikel TV






