Home Buletin Semasa DUGAAN DUA JIWA, CINTA TAK PERNAH LUNTUR

DUGAAN DUA JIWA, CINTA TAK PERNAH LUNTUR

284
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Di sebalik wajah tenang Alias Ismail, 62, dan isterinya, Mahani Mamat, 55, tersimpan kisah ketabahan luar biasa, kisah dua jiwa yang diuji bertimpa-timpa, namun tetap berpaut pada kasih dan reda Ilahi.

Alias, dari Kampung Seribong, di sini, kini menghabiskan hari-harinya bersama isteri tercinta bersama tiga lagi anak mereka di rumah selepas keduanya kini menghidap penyakit saraf kronik.

Menurut Alias, dua anaknya sudah berumahtangga dan kini menetap di Johor, manakala tiga lagi anaknya iaitu Siti Nur Fazilah, 37, Mohd Hafiz, 33, dan Nurul Syafikah,19, tinggal bersamanya.

Anak sulungnya, Siti Nur Fazilah adalah orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran dan pertuturan sejak bayi akibat demam panas, manakala anak bongsunya, Nurul Syafikah, 19, masih bersekolah di sebuah Sekolah Pendidikan Khas, di Kota Bharu, turut mengalami masalah sama.

Menceritakan punca menghidap penyakit itu, Alias yang juga bekas Tok Siak Masjid Kampung Parit, di sini, berkata sebelum ini dia melakukan pelbagai kerja termasuk mengambil upah mesin rumput dan memanjat pokok kelapa.

“Ia bermula dari rasa kebas, namun saya membiarkannya. Kemungkinan juga disebabkan saya pernah terjatuh dari pokok kelapa setinggi tiang elektrik, namun saya tidak berasa apa-apa sehingga beberapa hari selepas itu ada yang menegur saya tidak boleh menggunakan tangan dengan baik.

“Bagaimanapun saya tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan sehinggalah saya solat dan saya rebah,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di rumahnya, di sini, semalam

Alias berkata, doktor mensarankannya untuk melakukan pembedahan, namun memikirkan risiko selepas pembedahan, dia menolaknya.

“Doktor beritahu saraf saya tersepit, jadi doktor menasihatkan saya untuk melakukan pembedahan, namun memikirkan risiko selepas pembedahan menyebabkan saya akan terlantar, saya menolaknya, saya tidak sanggup hendak hadap.

“Sekarang ini tanpa pembedahan saya boleh lagi berjalan, tetapi kalau buat pembedahan pun hanya boleh kurangkan sakit sedikit, lumpuh tetap lumpuh,”katanya.

Sementara itu, isterinya Mahani turut diuji dengan kesakitan sekitar tahun 2000 menyebabkan sakit di seluruh sendi.

Sebelum ini dia mengambil upah mengemas rumah dengan pendapatan RM50 sehari, tetapi dia turut diuji sakit pada 2002 menyebabkan dia langsung tidak boleh bekerja.

Menurutnya dia kini menghidap penyakit Diffuse Cutanoues Systematic Sclerosis ataupun autoimun yang menyebabkan sistem imun menyerang tubuh badannya sendiri.

“Pada tahun 2019 saya masuk wad selama 15 hari akibat demam dan jangkitan kuman dalam darah, selepas keluar hospital saya rasa baik sikit saya kerja.

“Tetapi saya tidak sedar yang sakit ini menarik urat-urat jari sehingga jadi mengeras dan bengkok, saya memang tidak sedar sehinggalah tangan saya sudah tidak boleh menggenggam,”katanya.

Walaupun diuji, namun keduanya tetap reda dengan suratan takdir daripada Ilahi.

Kini, Alias dan isterinya Mahani, bergantung kepada ubat-ubatan dan meneruskan temujanji di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Walaupun dalam kesukaran pergerakan, namun dia berserah kepada Allah setiap kali menunggang motorsikal untuk ke hospital mahupun mengambil anak bongsunya dari sekolah.

Menurutnya, jika keadaan tidak mengizinkan, baru dia meminta pertolongan daripada jiran untuk menghantarnya dan isteri ke hospital atau mengambil anaknya di sekolah.

Kini, kehidupan mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami menerima bantuan daripada JKM, saya mendapat bantuan sebanyak RM600 manakala isteri dan anak sulung saya yang berstatus OKU masing-masing mendapat RM300. Dengan keadaan ekonomi sekarang kami terpaksa berjimat cermat juga.

“Dua anak yang sudah berkahwin menetap di Johor dan bekerja di sebuah kilang di sana. Alhamdulillah mereka juga ada menghulurkan wang untuk kami, namun mereka pun sudah berkeluarga, jadi kalau boleh kami tidak mahu membebankan mereka,”katanya.

Namun di sebalik kesusahan hidup dan sakit yang dihidapi kerana diuji, sang isteri cukup bertuah kerana suaminya Alias sentiasa menjadi penghiburnya setiap hari.

“Suami saya ini disifatkan sebagai peramah dan kelakar, memang dia sentiasa usik saya. Dia pergi mana-mana pun senang dapat kawan.

“Saya bersyukur kerana dia sentiasa di sisi saya sampai hari ini walaupun samaa-sama sakit, kasih sayang diberikan sama sahaja ketika muda,”katanya.

Kisah mereka bukan sekadar cerita kesusahan, tetapi cerminan kekuatan cinta dan pengorbanan bahawa dalam sakit dan payah, kasih suami isteri tetap utuh, bertahan dalam reda dan doa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03100-29-00090379-3 atas nama Alias Ismail.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here