Home Buletin Semasa ROTI CANAI KARI KEPALA KAMBING TOK BILAL TARIK PELANGGAN KE PAK BADOL

ROTI CANAI KARI KEPALA KAMBING TOK BILAL TARIK PELANGGAN KE PAK BADOL

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

BACHOK: Keistimewaan gabungan roti canai lembut panas dengan kari kepala kambing berempah pekat menjadikan kedai makan di Kampung Pak Badol, Jalan Utama Kota Bharu-Pasir Puteh, tular dalam kalangan penggemar makanan eksotik di Kelantan.

Kedai yang dibuka sejak 1 Mei lepas diusahakan pasangan suami isteri, Mohd Affendi Ab Manaf, 40, yang juga bilal Masjid Nurul Ihsan Mukim Serdang Muda, Pak Badol, di sini, bersama isterinya Khalijah Abdul Rahman, 33, tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan menu roti canai kari kepala kambing.

Mohd Affendi atau dipanggil Tok Bilal berkata, idea memperkenalkan menu berkenaan tercetus apabila melihat penduduk kampung ada yang tidak berpeluang menikmati hidangan istimewa seperti kepala kambing kerana harganya tinggi di restoran bandar.

“Ada dalam kalangan orang kampung yang beritahu mereka nak makan kari kepala kambing tetapi tak mampu ke bandar dan harga mahal, jadi saya buat untuk mereka dapat sama menikmatinya.

“Satu kepala kambing bersekali dengan kulit ini dikenakan RM50 yang boleh dimakan hingga tujuh orang, tetapi biasanya pada setiap malam Jumaat, jika ada rezeki lebih saya gemar bersedekah dan menjemput jemaah masjid,” katanya ketika ditemui di kedainya, Sabtu lalu.

Mohd Affendi berkata, dengan harga berpatutan itu, setiap hidangan kepala kambing disajikan bersama kuah kari rempah khas buatan isteri beliau, yang juga tukang masak utama kedai berkenaan.

Tambahnya, mereka menyediakan kambing dimasak empuk hingga isinya mudah tanggal dari tulang, manakala kuahnya kaya dengan rempah tempatan dan santan segar.

“Saya sebenarnya sudah enam tahun meniaga di kedai makan tetapi terletak di dalam kampung, kali ini saya baru jumpa kedai di jalan utama.

“Lokasi kali ini lebih strategik di tepi jalan utama selepas mendapat ilham ketika membaiki kereta di kawasan berhampiran dan situ saya mula dengan modal RM1,000 saja menggunakan meja dan dapur lama,” katanya.

Beliau berkata, kedai itu dibuka setiap hari tetapi untuk menu berkenaan disediakan pada setiap Khamis hingga Sabtu sahaja, dari petang hingga tengah malam.

Katanya, sambutan pula, ada pelanggan datang secara luar jangka, termasuk dari negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Johor dan Melaka pada cuti sekolah baru-baru ini.

Mohd Affendi berkata, selain kepala kambing, kedainya turut menawarkan pelbagai menu lain seperti roti canai biasa, masakan panas, mi celup dan teh tarik, namun menu kepala kambing kekal sebagai ‘tarikan utama’ yang memberi kepuasan kepada peminatnya tersendiri.

Bagi Imam Tua Masjid Nurul Ihsan, Serdang Muda, Pak Badol, di sini, Md Saifullah Nik Abdullah, menu itu bukan sekadar hidangan, tetapi juga usaha Tok Bilal menggerakkan ekonomi kampung.

“Tok Bilal bukan sekadar menjual, tetapi lebih kepada merapatkan komuniti kerana biasanya selepas solat, ramai jemaah singgah makan, menjadikan suasana di sini seperti kenduri kecil,” katanya.

Seorang pelanggan dari Kedah, Mohd Suhaimi Jamaludin, 37, berkata beliau dan rakan-rakan yang bekerja sebagai operator jentera penuai di kawasan tersebut sudah tiga kali hadir menikmati makanan itu.

“Di Kedah susah nak dapat kepala kambing dengan harga RM50, tetapi di sini berbaloi, ‘portion’ besar, makan sampai lima hingga tujuh orang pun cukup,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here