Home Sukan INI MANCHESTER UNITED SEBENAR – AMORIM

INI MANCHESTER UNITED SEBENAR – AMORIM

358
0

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan kemenangan 4-2 ke atas Brighton, awal pagi tadi sebagai persembahan paling lengkap pasukannya malah lebih baik daripada kejayaan menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, minggu lalu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, penyerang Brazil, Matheus Cunha akhirnya menamatkan kemarau jaringan selepas lapan perlawanan dalam semua kejohanan sejak berhijrah dari Wolves apabila meledak gol pembukaan di Old Trafford, sekali gus mula menebus yuran perpindahan bernilai £62.5 juta (RM373 juta).

Casemiro menggandakan kedudukan sebelum rehat, manakala Bryan Mbeumo turut mencatat nama sebagai penjaring pada separuh masa kedua.

Bekas pemain United, Danny Welbeck menjaringkan gol lewat untuk Brighton sebelum Charalampos Kostoulas menambah satu lagi pada masa kecederaan, namun terlalu lambat untuk mencuri sebarang mata.

Mbeumo sekali lagi mencetak gol pada penghujung permainan untuk memastikan United meraih tiga kemenangan liga berturut-turut kali pertama sejak Februari 2024 di bawah pengendali terdahulu, Erik ten Hag.

“Apabila semangat kami berubah, kami bermain dengan lebih bebas dan yakin.

“Persembahan ini sangat penting, tetapi ia tidak akan jadi Manchester United sebenar jika kami tidak sedikit ‘menderita’ di hujung perlawanan,” kata Amorim.

Aksi bertenaga itu mengekalkan momentum kemenangan United selepas kejayaan menewaskan Liverpool minggu lalu, serta Sunderland sebelum itu kemenangan pertama mereka di Anfield sejak 2016.

Kemenangan 2-1 ke atas juara EPL itu memberi suntikan moral besar buat Amorim selepas permulaan musim yang bergelora. Kini, kemenangan terbaru menentang Brighton mengangkat United ke tangga keempat liga sebelum baki perlawanan hujung minggu berlangsung.

“Saya tidak pernah rasa malu ketika gagal menang, kerana saya tahu (pemilik bersama) Jim Ratcliffe tetap percaya. Tapi untuk berdepan penyokong dalam tempoh itu memang sukar. Dalam bola sepak, segalanya boleh berubah dalam seminit.

“Kami belajar daripada detik sukar dan kini bertindak balas dengan cara berbeza. Anda boleh lihat pasukan ini bermain jauh lebih baik berbanding musim lalu,” kata Amorim. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here