Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mencatat kejayaan membanggakan apabila Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Negeri Pahang merekodkan lebih 1.15 juta transaksi dengan nilai jualan keseluruhan RM41.9 juta setakat Isnin lalu.
Pencapaian itu diumumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh dalam ucapan beliau sempena Majlis Perasmian Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Timur yang berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan, di sini, semalam.
“Kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam usaha “menaikkan lantai” taraf hidup rakyat melalui pelaksanaan inisiatif di bawah Payung RAHMAH, khususnya dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.
“Karnival KPDN Zon Timur ini berjaya menarik penyertaan seramai 53 usahawan tempatan, sekali gus menyumbang kepada jumlah kumulatif 266 usahawan yang telah menyertai jelajah Karnival KPDN bagi lima siri pelaksanaan sepanjang tahun 2025,”katanya.
Dalam majlis sama, turut disampaikan 100 sumbangan bakul RAHMAH kepada penerima yang layak sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah.
Hadir sama Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Roziah Abudin, Timbalan Ketua Setiausaha KPDN dan pegawai-pegawai kanan KPDN.
IMedikel TV






