Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Sebanyak 2,622 unit peranti rokok elektronik (vape) serta 733 unit aksesori vape bernilai kira-kira RM272,000 dirampas dalam serbuan ke atas dua premis di sini, semalam.
Serbuan dijalankan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) antara jam 9.50 hingga 11 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan penjualan vape yang sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ketika serbuan dijalankan, terdapat tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 23 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan.
“PBT turut mengeluarkan kompaun, saman dan notis sitaan terhadap 2,622 unit peranti serta cecair vape pelbagai jenis dan 733 unit aksesori vape,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua barangan rampasan diserahkan kepada MDTM untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.
IMedikel TV






