Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Kegiatan penyeludupan beras dari negara jiran dipatahkan pihak berkuasa apabila sebanyak 671 kilogram (kg) beras pelbagai jenama ditemui dalam sebuah kenderaan di Kampung Seberang Baroh, di sini, pada jam 5.30 petang, Khamis lalu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata daripada jumlah itu, 621 kg adalah beras putih manakala 50 kg lagi beras pulut.
“Batalion 7 PGA merampas 621 kg beras putih dan 50 kg beras pulut pelbagai jenama dari Thailand ketika melakukan rondaan Op Taring Bravo 4, semalam.
“Pasukan kami mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan kampung berkenaan. kenderaan itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penghantar beras seludup ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM7,854, termasuk kenderaan yang turut disita.
Menurutnya, semua barangan rampasan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSPBN) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
IMedikel TV






