Home Sukan PSV BELASAH NAPOLI 6-2 DI EINDHOVEN

PSV BELASAH NAPOLI 6-2 DI EINDHOVEN

276
0

EINDHOVEN, Belanda: Dennis Man menjaringkan dua gol ketika PSV Eindhoven bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah Napoli 6-2, sekali gus meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, awal pagi tadi.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Scott McTominay meletakkan kelab juara Itali itu di depan pada minit ke-31, namun juara Belanda pantas membalas dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit menerusi jaringan sendiri Alessandro Buongiorno dan serangan balas disudahi Ismael Saibari.

Pada babak kedua, Man menambah dua lagi jaringan ketika PSV memanfaatkan sorakan padu penyokong di Philips Stadion untuk mengutip empat mata daripada tiga perlawanan, satu mata mengatasi juara Serie A itu.

Lorenzo Lucca menambah derita Napoli apabila dilayangkan kad merah 14 minit sebelum tamat kerana membantah keputusan pengadil, biarpun McTominay sempat merapatkan kedudukan 4-2 pada minit ke-86 menerusi sepakan sudut.

Namun PSV segera membalas sejurus sepak mula apabila Couhaib Driouech mencipta gerakan untuk pemain gantian Ricardo Pepi menyempurnakan sentuhan pertamanya sebelum Driouech sendiri meledak gol keenam seminit kemudian.

Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi dengan kedua-dua pasukan saling menyerang dan Leonardo Spinazzola membuka ruang untuk gol pertama Napoli apabila hantaran silangnya disudahkan McTominay dengan tandukan padu.

Pemain tengah Scotland itu melonjak di antara dua pemain pertahanan untuk menanduk kencang ke gawang PSV.

Namun PSV menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila hantaran silang Ivan Perisic ditampan ke gawang sendiri oleh Buongiorno ketika cuba mengeluarkan bola.

Perisic kemudian merampas bola ketika Napoli leka di kawasan sendiri sebelum Guus Til melorongkan kepada Saibari yang melakukan larian separuh padang untuk menjaringkan gol kedua.

“Saya sempat bertenang dan fikir apa yang mahu saya lakukan dengan bola,” kata Saibari.

Hantaran Mauro Junior pula tepat menemui Man yang menolak masuk gol ketiga PSV pada minit ke-54, sebelum pemain antarabangsa Romania itu meledak rembatan kencang dari jarak jauh bagi gol keempat pada minit ke-80.

Tiga lagi gol dalam lima minit terakhir menambah sensasi perlawanan yang sudah pun hangat sejak sebelum sepak mula apabila PSV menggugurkan pertahanan Sergino Dest daripada kesebelasan utama kerana lewat tiba ke stadium, walaupun dia akhirnya dimasukkan pada minit ke-85.

“Dalam 15 minit pertama kami agak sukar, tetapi selepas itu kami kuasai permainan dan sepatutnya boleh menjaringkan lapan gol. Tetapi keputusan 6-2 sudah cukup memuaskan,” kata pemain tengah PSV, Jerdy Schouten kepada Ziggo TV.

Pemain pertahanan Napoli, Giovanni di Lorenzo pula mengakui pasukannya kini rapuh.

“Tahun lalu kami amat mantap, tetapi tahun ini kami hilang kestabilan dan keseimbangan,” katanya. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here