Home Buletin Semasa JPJ KUTIP LEBIH RM1 JUTA KOMPAUN: 3,910 PEMANDU SINGAPURA DISAMAN GAGAL AKTIFKAN...

JPJ KUTIP LEBIH RM1 JUTA KOMPAUN: 3,910 PEMANDU SINGAPURA DISAMAN GAGAL AKTIFKAN RFID

390
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 3,910 saman terhadap pemandu warga Singapura yang gagal memasang atau mengaktifkan teknologi Identifkasi Frekuensi Radio (RFID) dengan jumlah kompaun keseluruhan mencecah RM1.17 juta.

Saman itu dikeluarkan sehingga semalam bermula dari tarikh penguatkuasaan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada 1 Julai lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semua pemandu terbabit diarahkan membayar saman secara serta-merta bagi memastikan kutipan kompaun dapat diselesaikan dengan berkesan.

“Untuk peringkat awal ini, tindakan hanya dikenakan terhadap kenderaan persendirian Singapura. Ini satu kejayaan besar kerana sebelum ini kita tidak dapat mengutip kompaun daripada mereka.

“Sebelum ini pemandu dari negara jiran itu sering melengahkan atau enggan membayar saman, menyebabkan kes tertunggak tidak dapat diselesaikan sebaik mereka pulang ke negara asal.,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Kursus Pemandu Efisien Kepada Pemandu di Kompleks Kota DarulNaim, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK), di sini, hari ini.

Jelasnya, saman maksimum RM300 dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang gagal mematuhi peraturan, dan kenderaan boleh disita jika enggan membayar.

“Bagaimanapun ada yang cuba memberi alasan untuk tidak membayar, tetapi apabila diberi pilihan sama ada mahu kenderaan mereka disita atau tidak, akhirnya mereka memilih untuk bayar. Selepas bayaran dibuat, JPJ akan arahkan mereka aktifkan RFID sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Selain itu, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 1,269 notis peringatan kepada pemandu kenderaan perdagangan Singapura serta mengarahkan mereka mengaktifkan RFID dengan segera.

Tambah beliau, penguatkuasaan dijalankan di luar kawasan Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ), termasuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Taman Daya di Johor, bagi mengelak kesesakan dan melancarkan aliran trafik kenderaan yang mematuhi peraturan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan, kira-kira 20,000 kenderaan Singapura memasuki Malaysia setiap hari, dan angka itu meningkat sehingga 30,000 kenderaan sehari ketika musim perayaan Deepavali.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here