Home Buletin Semasa TEATER KANAK-KANAK PACU HALA TUJU BAHARU SENI PERSEMBAHAN DI KELANTAN

TEATER KANAK-KANAK PACU HALA TUJU BAHARU SENI PERSEMBAHAN DI KELANTAN

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pengarah teater muda, Aqil Rozai, berhasrat membawa hala tuju baharu dunia teater di Kelantan dengan menggabungkan elemen imaginasi, fantasi dan warisan tempatan sebagai medium pendidikan serta pembentukan jati diri generasi muda.

Beliau berkata, pementasan perlu dilihat bukan hanya sebagai hiburan semata-mata, sebaliknya sebagai ruang pembelajaran yang mampu menyemai nilai budaya dan identiti bangsa dalam kalangan anak-anak sekolah.

“Apabila saya melihat semangat dan bakat anak-anak muda ini, saya percaya Kelantan sebenarnya kaya dengan potensi teater. Cuma yang kita perlukan ialah hala tuju jelas dan latihan berterusan supaya mereka tidak berhenti selepas satu-satu pementasan,” katanya.

Aqil yang telah lebih 10 tahun bergiat dalam pengarahan teater berkata demikian selepas pementasan “Di Mana Putra? Kembara Ilusi Merentas Imaginasi, Fantasi dan Realiti”, karya produksi Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, malam kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Menurutnya, teater berkenaan mengetengahkan pelbagai watak seperti Jack Sparrow, Peter Pan serta tokoh tempatan Tok Janggut, Sarjan Che Wan dan Tok Kenali, sebagai usaha memperkenalkan semula sejarah dan tokoh negeri kepada generasi muda.

“Teater ini berbeza kerana ia tidak hanya menghibur tetapi menyedarkan. Watak kanak-kanak bernama Putra melalui pengembaraan yang membawa penonton memahami nilai keinsafan, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Katanya, latihan selama dua bulan melibatkan murid-murid sekolah rendah sekitar Kota Bharu memberi peluang besar kepada mereka mendalami seni lakon dan membina keyakinan diri di pentas sebenar.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kekurangan platform tetap untuk pelapis teater di Kelantan, sekali gus menggesa agar pertandingan teater atau program persembahan berkala diwujudkan semula seperti “Festival Teater Malaysia” dan “Pekan Teater” yang pernah dianjurkan sebelum ini.

“Kalau ada ruang seperti itu semula, kita boleh himpunkan pelbagai kumpulan teater dari seluruh negeri. Di situ akan berlaku pertukaran ilmu, teknik dan idea yang boleh memperkayakan estetika teater tempatan,” katanya.

Tambahnya, potensi bakat di Kelantan amat besar dan perlu disalurkan secara konsisten agar tidak tenggelam dengan arus hiburan digital.

“Kalau diberi latihan berterusan dan bimbingan, saya percaya anak-anak kecil ini mampu mengangkat teater Kelantan ke peringkat nasional. Ramai juga anak Kelantan yang kini aktif di Kuala Lumpur dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKKN Kelantan, Rohaniza Abdullah, berkata pihaknya komited menyediakan platform untuk penggiat teater tempatan, terutama yang membabitkan penyertaan kanak-kanak dan remaja.

“Apabila kita bawa karya teater kanak-kanak, secara tidak langsung seluruh keluarga datang menonton. Dari situ mesej dan nilai yang dibawa teater akan tersebar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Aspek antara kumpulan yang konsisten menghasilkan karya bermutu dan pihaknya menilai mereka berdasarkan keupayaan serta kualiti penyampaian yang mampu menarik minat penonton umum.

“Ini adalah langkah permulaan untuk mengembalikan semangat pementasan di Kelantan. JKKN akan terus menyokong penganjuran teater sebegini bagi memastikan seni persembahan tempatan kekal hidup,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here